B40, M40 semakin terbeban, kerajaan perlu beri bantuan tambahan – Tok Mat
Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia khususnya dijangka melambatkan pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021.
Justeru, kerajaan perlu meningkatkan lagi usaha untuk memulihkan ekonomi dengan hala tuju yang jelas dan dinamik termasuk mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dalam laporan terbarunya telah menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar tahun 2020 kepada -5.5 peratus.
Kata beliau, penurunan unjuran itu berdasarkan kepada penurunan besar kadar pertumbuhan ekonomi dalam suku kedua pada -17.1 peratus, ditambah dengan lonjakan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Penurunan ini berpunca daripada tiadanya langkah mitigasi tambahan diambil kerajaan pada suku sebelumnya, terutamanya bagi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Rentetan dari itu, saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban, terutamanya di kawasan PKPD dan PKPB.
“Pakej rangsangan ekonomi negara sebelum ini terbukti berjaya meringankan beban rakyat dan menjamin aliran tunai perniagaan, namun telah berakhir pada masa yang genting ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Mohamad berkata, kerajaan tidak boleh melengahkan masa dengan persoalan pertumbuhan ekonomi sahaja, kerana Vietnam dijangka memintas Malaysia untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia Tenggara tahun ini, sekali gus antara negara terbaik di rantau ini untuk pelaburan.
Katanya, inisiatif Program PENJANA juga perlu dilanjutkan terutama untuk PKS demi mengekalkan pekerja dan mengelakkan peningkatan kadar pengangguran.
“Usaha mesti digiatkan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi dengan membenarkan demokrasi berfungsi, pelaburan terpilih diberikan insentif khas, sempadan dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dan syarat melakukan perniagaan dipermudahkan lagi.
“Keyakinan perniagaan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bergantung besar kepada konsistensi dan kejelasan polisi sedia ada dengan setiap polisi dan dasar kerajaan dalam memerangi pandemik ini perlu wajar, berasaskan bukti saintifik, mengambil kira kepentingan awam dan tidak mengelirukan.
“Saya berharap kerajaan Malaysia mempertimbangkan pembentukan sistem amaran berperingkat yang lengkap dan konsisten sebagai pengganti pengumuman pengubahsuaian SOP pada saat terakhir,” katanya.
Jelas beliau, sistem amaran berperingkat seperti yang dijalankan di beberapa negara lain akan memaparkan perbezaan tahap kecemasan dalam krisis Covid-19 berasaskan nombor pembiakan virus dan jumlah kes yang disahkan.
Katanya, setiap peringkat amaran itu mempunyai protokol dan sekatan yang tetap dan tidak akan diubahsuai sewenang-wenangnya, terutama dari segi SOP di tempat kerja.
“Protokol yang ditetapkan juga mesti melalui proses rundingan dengan pihak berkepentingan dengan mengambil kira keseimbangan antara kelestarian perniagaan dan kesihatan pekerja.
“Saya mengulangi pendirian saya, pandemik ini hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan negara,” katanya. MG
https://mykmu.net/2017/10/24/visi-ekonomi-saya-untuk-malaysia/
You must be logged in to post a comment.