MN Berganding Bahu Dahulukan Agenda Rakyat Di Kedah
SIK – Bagai tidak terkesan dengan kemelut politik di peringkat Kerajaan Persekutuan, pimpinan UMNO dan PAS di bawah Kerajaan Negeri Kedah berganding bahu dalam agenda mendahulukan rakyat di negeri Jelapang Padi ini.
Dizahirkan sejak penyatuan ummah dalam satu peristiwa bersejarah yang menghasilkan Piagam Muafakat Nasional (MN), para pemimpin UMNO dan PAS di sini bagai bersaudara dalam banyak program, khususnya berkaitan kepentingan rakyat.
“Inilah hikmah terbesar yang Allah nak tunjuk pada kita umat Melayu Islam di Malaysia. HidayahNya cukup berhikmah, cukup mendalam dan memberi kesan kepada kita di segenap pelusuk negara.
“Pagi ini Kak Su dan Adun Belantik, YB Ustaz Hj Mohd Isa bersama untuk membantu para penduduk Kg Charok Damar dan sekitarnya mendapat bekalan air masyarakat yang disalurkan dari atas bukit ini.
“Kami sudah biasa begini sejak MN dibentuk bersama. Pemimpin UMNO ada, pemimpin PAS pun ada. Melihat kami bersama, penyokong kami pun ikut bersama, rakyat pun sejuk hati melihat,” kata Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Saliran Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob ketika ditemui di sini semalam.
Suraya yang lebih mesra disapa sebagai Kak Su semalam menyerahkan paip air baharu sepanjang 1.5 km bernilai lebih RM15,000, sumbangan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu program gotong-royong air masyarakat di Kg Charok Damar.
Lebih menarik, program berkenaan bukan sahaja dihadiri oleh pimpinan MN sahaja, malah turut dihadiri oleh ramai penyokong dari kedua parti dan rakyat setempat.
Dianggarkan lebih 200 buah rumah di kampung Charok Damar dan sekitarnya akan menerima manfaat dari program ini yang menyalirkan air dari semula jadi ke kolam takungan sebelum disalirkan ke kediaman masing-masing.
Air masyarakat menjadi pilihan utama bagi masyarakat pedalaman di kawasan luar bandar di negeri Kedah, khususnya mereka yang tinggal berdekatan dengan sumber air semula jadi, sungai, jeram, telaga dan sebagainya.
Selain Kak Su yang juga merupakan Adun (UMNO/BN) Sg Tiang, Ustaz Mohd Isa, penduduk kampung dan anak-anak muda tempatan, turut hadir di program berkenaan adalah Timbalan Pengarah SPAN Utara, En. Khitob Ahmad dan Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Hj Badrul Hisham. -myKMU.net
Kredit gambar: https://www.facebook.com/Suraya-Yaacob-320681921395601/