Peminat pertikai Ajak Shiro rentas negeri balik kampung
PETALING JAYA – Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro bengang apabila keberadaannnya di kampung halamannya ketika perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang diwartakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dipertikaikan netizen.
Ajak pulang ke kampung halaman di Johor dan memuat naik sebuah video panjang ketika dia sedang melawat tapak pembinaan rumah baharu ayahnya pagi tadi.
Bagaimanapun, ada yang bertindak meninggalkan komen dengan bertanya bagaimana dia boleh pulang ke kampung dan merentas negeri ketika ini.
“Kenapa tidak boleh ya? Saya duduk di mana? Kenapa tidak balik? Baliklah jumpa mak ayah. Orang lain tahulah tidak mahu langgar perintah PKPB untuk jumpa mak ayah. Video ini pagi tadi, jelas?” tulis Ajak.
Bagaimanapun, beberapa peminat menjelaskan penyampai radio Suria FM itu sebenarnya tinggal di Nilai, Negeri Sembilan bukannya di Kuala Lumpur.
Tempat tinggal Ajak tidak diwartakan PKPB dan keadaan itu membolehkan dia bergerak seperti biasa ke mana-mana negeri atau lokasi yang tidak dikenakan perintah berkenaan.- K! ONLINE