Langkah gantung Parlimen rencat terma hitam putih Umno kepada Muhyiddin
Langkah menggantung Parlimen yang dijadual bersidang pada November depan hanya akan merencatkan keputusan biro politik Umno yang mahu menghantar terma hitam putih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
Mohd Puad Zarkashi berkata, ia juga akan menyebabkan pendaftaran Muafakat Nasional (MN), yang sebelum ini sudah dipersetujui antara Umno dan PAS mungkin akan tertangguh lama.
“Kalau betul keputusan semalam ialah menggantung Parlimen, ia boleh menimbulkan beberapa persepsi lain. Pertama, kerajaan dapat mengelak usul undi tidak percaya apabila Parlimen digantung.
“Kedua, kerajaan mahu memastikan Belanjawan 2021 tidak ditolak melalui undian di Parlimen.
“Selain itu, Muhyiddin menganggap dakwaan Anwar (Ibrahim) bahawa dia sudah cukup nombor adalah benar. Ia turut merencat keputusan biro politik Umno yang mahu menghantar terma hitam putih kepada Muhyiddin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, langkah itu turut dilihat akan menggagalkan cita-cita Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Yamg di-Pertuan Agong, menerusi kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, akan mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan dikemukakan Muhyiddin.
Semalam, Muhyiddin dilihat meninggalkan Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang selepas lebih 2 jam menghadap Agong, dipercayai berhubung kemungkinan perisytiharan perintah darurat separa untuk menangani Covid-19.
Sebelum ini tersebar luas spekulasi yang mendakwa kerajaan mempertimbangkan langkah mengisytiharkan darurat untuk menangani Covid-19 yang merekodkan angka jangkitan 700 hingga 800 kes sehari.
Puad berkata, sehingga kini selepas Muhyiddin menghadap Agong semalam, masih belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat berhubung keputusan dicapai dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri.
Malah katanya, Muhyiddin juga dilihat membatalkan sidang medianya malam tadi.
“Justeru, teka-teki yang berlaku semalam menambahkan lagi kekeliruan rakyat. Jangan nanti rakyat tuduh kerajaan yang keliru kerana gagal bantu rakyat akibat padah ekonomi,” katanya.
Menurut Puad, persoalan lebih besar melibatkan Belanjawan 2021, apakah Muhyiddin akan menggunakan perbelanjaan kecemasan untuk perbelanjaan negara bagi tahun depan.
Katanya, belanjawan itu bukan lagi untuk rakyat kerana ia tidak dibahas dan diluluskan di Parlimen.
“Ia menjadi tidak telus. Setelah BN kalah dalam pilihan raya umum ke-14, macam-macam kita dengar. Perdana menteri interim, kerajaan perpaduan tanpa parti politik dan terkini menggantung Parlimen.
“Terbaik, kita menaruh harapan kepada kebijaksanaan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu,” katanya. FMT
KERTAS PUTIH FELDA – APA FAEDAH UNTUK PENEROKA? (EPISOD 1.5)