Darurat politik langkah berlebihan, berbahaya kepada demokrasi
PETALING JAYA: Bersih 2.0 berpendapat darurat politik yang dikatakan akan diisytiharkan pada bila-bila masa sebagai langkah berlebihan dan berbahaya kepada demokrasi negara.
Dalam kenyataan hari ini, badan itu berkata sekiranya perintah darurat membabitkan penggantungan Parlimen dan kebebasan awam, maka ia sama seperti rampasan kuasa sendiri oleh kerajaan Muhyiddin Yassin untuk kekal berkuasa.
“Perintah darurat membenarkan kerajaan lantikan Agong untuk membuat ordinan yang akan mempunyai kuasa dan kesan sama seperti akta oleh Parlimen, dan ia akan berkuatkuasa sepenuhnya sehingga ditarik balik atau dibatalkan serta ordinan tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah.
Muhyiddin yang dalam darurat, bukan negara – Mat Sabu
“Darurat juga akan memberikan kerajaan persekutuan kuasa untuk melanggar bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.
Bersih 2.0 beranggapan, jika tujuan darurat untuk mengekang penularan Covid-19, perintah kawalan pergerakan bersasar yang dilaksanakan ketika ini sudah mencukupi.
“Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 mempunyai peruntukan mencukupi bagi menyediakan langkah pencegahan penyebaran Covid-19 termasuk kuasa untuk membuat peraturan, kawalan pergerakan orang ramai dan menggerakkan pasukan bersenjata sebagaimana yang kita lihat sebelum ini,” katanya.
Katanya, tujuan utama Muhyiddin menasihati Agong untuk mengisytiharkan darurat sudah tentu disebabkan motif politik susulan langkah terbaharu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Justeru, Bersih 2.0 mendesak semua ahli politik mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk tidak menentang kerajaan PN dalam undi percaya atau berkenaan isu perbekalan.
“Ini bagi memastikan bantuan belanjawan Covid-19 yang akan dibentangkan bulan depan akan diluluskan dan mengekalkan kestabilan dalam Parlimen,” katanya.
Muhyiddin dipercayai menghadap Agong dalam usaha untuk mengisytiharkan darurat berikutan situasi semasa Covid-19.
Kenderaan membawa perdana menteri dilihat meninggalkan Istana Abdulaziz, Kuantan pada 7.10 malam selepas berada di situ selama lebih 2 jam.
Terdahulu, beliau tiba di pekarangan istana pada 4.40 petang tadi.
Turut serta Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang.
Pagi tadi, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya dipercayai bagi membincangkan isu semasa.
You must be logged in to post a comment.