Tak masuk akal kerja dari rumah, kata Anwar
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan arahan bekerja dari rumah diumumkan kerajaan tidak masuk akal kerana pekerja di bahagian operasi iaitu mereka yang terdiri daripada berpendapatan rendah masih perlu bekerja seperti biasa.
“Bagaimana keributan ini dapat membantu aspek kesihatan awam dengan mengorbankan pekerja kolar biru?
“Perubahan di saat akhir, termasuk arahan melibatkan pekerja sektor awam dan sektor bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan di sektor industri dan awam bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) perlu bekerja dari rumah sepanjang tempoh itu.
Turut diumumkan, maksimum 10% kakitangan kanan jabatan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dibenarkan berada di pejabat selama 4 jam dari 10 pagi hingga 2 petang, 3 hari seminggu.
Mengulas lanjut, presiden PKR itu berkata walaupun PKP dilaksanakan sejak 8 bulan lalu, kerajaan masih belum jelas mengenai strategi dalam menangani kemelut itu dan bagaimana membangunkan semula ekonomi.
“Tetapi apa yang disajikan kepada rakyat adalah arahan atau panduan yang bertembung, termasuk amalan antara 2 darjat dalam pelaksanaan hukuman,” katanya.
Katanya, kerajaan yang telus dan informatif sangat diperlukan ketika ini terutama membabitkan dasar jelas dalam berdepan kemelut.
“Meski kerajaan mengumumkan aktiviti ekonomi dibenarkan, namun panduan terkini ternyata akan memberi impak kepada perniagaan, terutama kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan,” katanya.
Menurut Retail Group Malaysia (RGM), kira-kira 51,000, iaitu 15% daripada jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari 4 atau 5 bulan akan datang.
Justeru, ahli Parlimen Port Dickson itu mengulangi gesaannya supaya kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman sekurang-kurang 3 bulan lagi bagi membantu sektor perniagan dan rakyat menempuh krisis itu.
“Kerajaan harus tonjolkan kepimpinan yang punyai kualiti dengan melanjutkan moratorium pinjaman untuk 3 bulan lagi. Langkah tambahan adalah diperlukan bagi menopang industri kecil dan gaji kepada pekerja sehingga tamat PKP,” katanya. FMT
You must be logged in to post a comment.