Saya tak promosi barangan – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau tidak mempromosikan barangan di rak kabinet yang menjadi latar belakang sidang media hariannya di Wisma Pertahanan.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, berkata barang yang disusun pada rak kabinet dan kelihatan di belakangnya adalah hak milik Kementerian Pertahanan.
“Ini kabinet MINDEF (Kementerian Pertahanan) yang memang sudah ada dan tidak akan dibuang. Saya tidak tahu apa yang hendak diletakkan di belakang. Maka, saya biarkan dan saya juga tidak mempromosikannya.
Sidang media Ismail Sabri sering mendapat perhatian warga maya sehingga ramai yang berseloroh mahu membida setiap barangan dipamerkan di rak kabinet.
Ismail Sabri berkata, sidang media harian beliau adalah bagi memaklumkan berhubung tindakan kerajaan dalam aspek keselamatan bagi membendung penularan COVID-19.
Sidang media beliau katanya memberi maklumat kepada orang awam mengenai tindakan kerajaan termasuk penahanan individu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Saya hanya memaklumkan tindakan harian oleh kerajaan kerana rakyat mahu tahu apa dilakukan pihak berkuasa terhadap pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Ia juga beri kesedaran kepada rakyat kerajaan melakukan sesuatu untuk mengurangkan penularan COVID-19,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut menggesa sidang media harian Menteri Kanan (Keselamatan) dihentikan jika tiada pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat.
Hannah melalui ciapannya di Twitter berkata, sidang media bukan tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak.-BH
You must be logged in to post a comment.