Isu kuarantin Mohd Khairuddin, ini komen Dr Noor Hisham
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak memberikan sebarang komen lanjut mengenai isu kontroversi yang tercetus berhubung Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki, Julai lalu.
Sebaliknya, beliau hanya meminta orang ramai supaya merujuk semula kenyataan yang dikeluarkannya pada 25 Ogos lalu.
“Pihak polis telah menjalankan siasatan, dan Peguam Negara juga telah membuat kenyataan media.
“Tetapi yang lebih penting saya rasa, sila lihat semula kenyataan yang saya berikan semasa sidang media pada 25 Ogos lalu.
“Saya ditanya soalan yang sama dan pada 25 Ogos saya sudah membuat komen mengenai perkara ini,” jelasnya ketika ditanya mengenai alasan Jabatan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Dalam sidang media itu, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata bahawa polis dan Peguam Negara diberi kuasa melalui Seksyen 3, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Beliau pada sama memberi pesanan agar semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai pejuang barisan hadapan.
“Apa yang lebih penting adalah kita, sebagai barisan hadapan, untuk mengikuti dan mematuhi SOP. Itulah peringatan penting kepada kita semua,” jelas beliau lagi.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Khairuddin atas pelanggaran kuarantin kerana tiada keterangan yang kukuh.
Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata hasil kajian dan penelitian terhadap segala keterangan yang dikemukakan, mendapati pegawai diberi kuasa telah menggunakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah bagi mengarahkan menteri berkenaan menjalani pemerhatian atau pengawasan di rumah di bawah subseksyen 15(1) Akta 342.
Idrus berkata bagi menjadikan perbuatan melanggar perintah kuarantin di rumah sebagai suatu kesalahan di bawah Akta 342, perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah mestilah diserahkan kepada menteri tersebut terlebih dahulu sebagaimana kehendak di bawah subseksyen 15(1) Akta 342.
Berdasarkan pertimbangan tersebut, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Mohd Khairuddin memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti yang diperlukan di bawah undang-undang. Awani
Pendakwaan atas Khairuddin, bukan kita tapi mahkamah yang tentukan salah atau tidak – Asyraf Wajidi
You must be logged in to post a comment.