Jabatan Peguam Negara jelaskan kenapa ‘tiada tindakan lagi’ terhadap Khairuddin
Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan alasan di sebalik ‘tiada tindakan lagi’ (NFA) terhadap kes melibatkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, yang dikritik dan dikompaun selepas dikatakan tidak kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.
Katanya, siasatan mendapati pegawai yang diberi kuasa untuk mengarah pemimpin PAS itu menjalani perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah “menggunakan budi bicaranya” untuk tidak mengeluarkan sebarang perintah.
“Bagi menjadikan perbuatan melanggar perintah kuarantin di rumah sebagai suatu kesalahan bawah Akta 342, perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah mestilah diserahkan kepada menteri terlebih dahulu sebagaimana kehendak bawah subseksyen 15(1) Akta 342,” katanya dalam kenyataan.
Akta yang dirujuk AGC adalah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. Perintah yang dimaksudkan terkandung dalam apa yang dipanggil Borang 14b.
Borang itu, katanya, tidak pernah diserahkan kepada Khairuddin sebelum beliau dibenarkan pulang ke rumah.
“Berdasarkan perkara yang tersebut di atas, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap menteri memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti yang diperlukan bawah undang-undang,” katanya.
Menurut AGC, pegawai yang diberi kuasa itu, daripada Kementerian Kesihatan, membenarkan Khairuddin pulang ke kediaman selepas menjalani saringan Covid-19 dan keputusannya negatif.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed memaklumkan Jabatan Peguam Negara tidak akan menuduh Khairuddin, mengatakan polis dimaklumkan tiada tindakan lanjut akan diambil, atas alasan, dari sudut keterangan, didapati tiada borang arahan kuarantin diberi kepada pemimpin PAS itu.
Kementerian Kesihatan pada Ogos mengenakan kompaun RM1,000 ke atas Khairuddin, yang didapati melakukan kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) bawah akta sama.
Pemimpin PAS itu pulang dari Turki pada 7 Julai dan beberapa hari selepas itu menyertai sidang Parlimen.
Mengikut Akta 342, semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19. FMT
You must be logged in to post a comment.