Rakyat Malaysia terkandas rayu dibenar jumpa keluarga
Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula diumumkan Mac lalu, Panjawarnam T Sellaya, ibu tunggal yang berulang-alik dari Johor ke Singapura untuk bekerja, diberitahu beliau hanya perlu berada di pulau itu selama 2 minggu.
“Sekarang, 7 bulan kemudian, saya masih di sini. Sejak itu, saya tak jumpa anak, ibu atau mana-mana ahli keluarga saya.”
Apabila sempadan Malaysia dan Singapura ditutup pada Mac untuk membendung penularan Covid-19, ribuan keluarga yang bergantung kepada hubungan rapat kedua-dua negara itu, terkandas.
Sebagai pencari nafkah tunggal keluarganya, Panjawarnam tidak mempunyai pilihan selain terus bekerja sebagai penasihat keselamatan kanan di sebuah hospital komuniti.
“Beberapa rakan sekerja saya memohon untuk balik ke Malaysia, tetapi syarikat memberitahu mereka tidak akan diterima kembali jika mereka pergi.”
Terkandas di Singapura tanpa tahu bila ia akan berakhir, keadaan bertambah buruk pada Jun lalu apabila nenek Panjawarnam meninggal dunia.
Ketika ibu dan kakaknya ke Kuala Lumpur untuk menghadiri pengebumian itu, anaknya yang berusia 10 tahun, Thusshanth dijaga saudara-mara selama sebulan supaya dia terus membuat kerja rumahnya.
“Saya tak kata dia didera, tetapi mereka buat perkara tak sepatutnya kepada anak saya.”
Satu-satunya pilihan Panjawarnam ialah membuat penampilan maya menerusi panggilan video untuk memberi penghormatan terakhir kepada neneknya. Ketika bapa pembaptisannya meninggal dunia sebulan kemudian, beliau sekali lagi terpaksa berkabung melalui FaceTime.
“Kita perlu kuat, berdoa untuk yang terbaik dan berharap kita boleh balik secepat mungkin.”
Pengurus projek, Faruk turut berdepan nasib sama kerana terpaksa berjauhan dengan isteri dan 2 anaknya yang masih kecil sejak pandemik itu melanda negara Mac lalu.
“Mereka benar-benar bergelut pada waktu puncak perintah berkurung kerana biasanya saya yang akan beli barang dapur dan barang lain di rumah.
“Anak bongsu saya tak pernah berpisah dengan saya sejak dia lahir. Kadang-kadang dia tidak akan bercakap dengan saya kerana kecewa dengan saya, dan dia terlalu muda untuk faham mengapa saya tak ada di sisinya.”
Beliau terlepas beberapa peristiwa penting bersama keluarga, termasuk ulang tahun perkahwinan ke-12 dan ulang tahun kelahiran anak perempuannya yang ke-5. Dengan anak lelakinya yang menginjak usia 11 tahun akhir bulan ini, Faruk menerima hakikat beliau akan terlepas peluang meraikannya.
“Anak sulung saya sangat sedih sebab papa dia tiada di sana untuk meraikannya.”
Walaupun perjalanan terhad dibenarkan untuk pekerja antara Singapura dan Malaysia, ramai yang tidak layak, termasuk pemegang status penduduk tetap Singapura seperti Panjawarnam dan Faruk.
“Pengaturan itu sepatutnya untuk semua orang,” keluh Faruk kerana risiko semua orang sama, tidak kira siapa.
Panjawarnam bersetuju dan berharap sekurang-kurangnya mereka yang mempunyai keluarga di Johor, kelonggaran akan dibenarkan untuk bersatu dengan keluarga semula.
Malah, bagi mereka yang memenuhi syarat di bawah pengaturan perjalanan rasmi itu, kos terbabit mungkin melebihi RM5,000 jika mengambil kira kos kuarantin di hotel, membuatkan pemohon yang layak tidak mampu menanggungnya.
Hasilnya, penantian berterusan untuk ramai pekerja Malaysia di Singapura.
Dengan vaksin Covid-19 yang tidak mungkin dihasilkan sehingga tahun depan dan lonjakan kes tidak dapat diramalkan, jauh sekali sempadan akan dibuka semula, tetapi ia tidak memadamkan harapan ramai yang mereka tidak perlu menunggu sehingga saat itu untuk berjumpa keluarga mereka semula. FMT
8 rakyat Malaysia terkandas di Nigeria dibawa pulang – Wan Junaidi
You must be logged in to post a comment.