Trump gelar pakar COVID-19 sebagai ‘bodoh’

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyelar saintis, Anthony Fauci dalam kempennya semalam, dengan menyatakan bahawa doktor yang sangat dihormati dan popular itu adalah bodoh.

Fauci adalah ketua untuk pasukan COVID-19 Rumah Putih, kini menjadi sasaran kekecewaan Trump berikutan beliau berusaha untuk memperbetulkan mengenai tindakan kerajaan yang banyak dikritik berhubung pandemik itu.

Sehingga kini, pandemik itu sudah meragut hampir 220,000 nyawa di AS.



“Dia berada di sini umpama sudah 500 tahun. Jika kita mendengar apa yang diperkatakan Fauci, mungkin kematian boleh mencapai sehingga 800,000 orang,” katanya terhadap Fauci, 79, yang terkenal di seluruh dunia kerana mengendalikan Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan di pinggir bandar Washington.

Malah, Trump juga tidak teragak-agak untuk memecat Fauci sebelum pilihan raya 3 November ini.

Begitupun, serangan Trump terhadap Fauci dipertahankan oleh Senator Republikan, Lamar Alexander.

“Dr Fauci adalah penjawat awam yang sangat terkenal di negara ini dan sudah berkhidmat dengan enam presiden sebelum ini, bermula dengan Ronald Reagan.



“Jika semua rakyat Amerika mendengar nasihat beliau, kita mungkin akan ada kes jangkitan COVID-19 yang sangat kurang dan selamat untuk kembali bekerja dan bersekolah serta makan di luar,” katanya dalam ciapan di Twitternya.

Ucapan Trump itu dibuat seminggu selepas Fauci menyatakan rasa tidak senangnya berikutan penggunaan klipnya dalam video kempen Trump mengenai COVID-19.

“Dalam hampir lima dekad dalam perkhidmatan awam, saya tidak pernah secara terbuka menyokong calon politik mana pun,” kata Fauci, mengatakan kenyataannya dalam video itu diambil di luar konteks.

Dalam banyak keadaan ketika maklum balas mengenai pandemik, Fauci telah menjelaskan atau memperbetulkan komen umum Trump mengenai perkembangan rawatan dan vaksin COVID-19.



Nada suara di antara mereka kadang-kadang berubah menjadi tegang, seperti pada bulan April ketika Trump menciap semula hantaran yang berisi tanda pagar #PecatFauci – sebelum meyakinkan rakyat Amerika bahawa ‘Tony’ melakukan pekerjaan yang hebat. – AFP

Dr Noor Hisham dipuji oleh doktor di Amerika



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker