Covid-19 & Pengorbanan, dari seorang doktor, kini menjadi pesakit

Kuala Lumpur: “Saya terima kenyataan itu dengan reda, fikiran positif dan hati yang tenang. Ini kerana saya sudah bersedia, malah tahu penyakit ini (Covid-19) boleh menjangkiti sesiapa tanpa mengira status,” kata Dr Saraswathy Subramaniam, 29.

Beliau adalah pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau yang dihantar bertugas di Hospital Semporna, Sabah sebelum ini.

Dia juga antara pegawai perubatan di Sabah yang dijangkiti Covid-19 dan ditempatkan di wad selama 15 hari bermula 26 September hingga 10 Oktober lalu.

Selepas dibenarkan pulang, Dr Saraswathy terus menjalani kuarantin lima hari dan kini masih berehat sebelum kembali bertugas minggu hadapan.

Menceritakan pengalaman sebagai pesakit, Dr Saraswathy berkata, dia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi kemungkinan sebaik dihantar bertugas di Hospital Semporna bulan lalu.

Malah, Dr Saraswathy sedar peratusannya dijangkiti Covid-19 amat tinggi kerana saban hari terdedah dengan pesakit dan persekitaran di hospital.

“Hari sebelumnya (sebelum disahkan positif), saya bertugas merawat pesakit di wad. Tetapi keesokannya, saya pula menjadi pesakit yang terbaring di katil hospital.

 

DR Saraswathy ditempatkan di wad selama 15 hari selepas dijangkiti Covid-19.
DR Saraswathy ditempatkan di wad selama 15 hari selepas dijangkiti Covid-19.

 

“Saya terbaring dalam keadaan lemah, batuk, sakit tekak, badan menggigil, kepala berat dan ditempatkan di wad tempat saya pernah merawat pesakit lain.

“Pengalaman sebagai pesakit beri saya perasaan berbeza, ketabahan dan peluang melihat ujian itu daripada sudut positif,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Berkongsi rutinnya sepanjang berada di dalam wad, Dr Saraswathy berkata, selain berhubung dengan keluarga, masa yang ada digunakan untuk memberi semangat kepada pesakit lain supaya terus cekal menghadapi penyakit.

“Ketika di wad, saya tidak dapat lari daripada rutin seorang doktor iaitu menasihati pesakit lain selain mendengar dan bertukar cerita dengan mereka.

“Di samping itu, saya habiskan masa yang ada dengan menulis diari, melakukan terapi seni, menonton drama dan filem di dalam talian serta membaca perkongsian berkaitan kerohanian serta inspirasi.

 

DR Saraswathy merupakan pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau yang dihantar bertugas di Hospital Semporna, Sabah.
DR Saraswathy merupakan pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau yang dihantar bertugas di Hospital Semporna, Sabah.

 

“Saya turut berhubung dengan rakan doktor yang positif Covid-19 menerusi WhatsApp dan memberi sokongan moral kepada satu sama lain,” katanya

Biarpun penyakit itu menyebabkan dia terpisah dengan dunia luar, Dr Saraswathy menganggap pengalaman itu sebagai sesuatu yang berharga kerana ia sebahagian proses menjadikannya seseorang individu yang lebih menghargai kehidupan.

Doktor lulusan IM Sechenov First Moscow State Medical University itu berkata, pengalaman dilalui membuat dia lebih bersemangat untuk menabur bakti kepada masyarakat terutama di Sabah.

“Apabila jadi pesakit, baru saya tahu betapa susahnya melawan Covid- 19.

“Penyakit ini juga mengajar saya erti bersyukur terutama apabila melihat keadaan pesakit lain yang lebih teruk,” katanya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker