Kes rogol ‘bibik’, ADUN DAP mula bicara 21 Disember ini

IPOH – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tiga hari bermula 21 Disember depan untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh berkenaan berikutan dua lagi peguam yang mewakili Paul Yong iaitu Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir menghadapi kekangan untuk menghadiri perbicaraan yang dijadualkan hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Pada prosiding hari ini, Paul Yong diwakili peguam Farhan Sapian dan Surindar Singh manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Perak, Azhar Mokhtar.

Antara majoriti samar Anwar dan pimpinan Muhyiddin yang hilang kepercayaan

Norashima turut menetapkan 20 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Sementara itu, Farhan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya sedang menunggu Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh perbicaraan yang baharu berhubung rayuan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi memandangkan perbicaraan yang sepatutnya diadakan pada Rabu lepas tidak dapat dijalankan kerana PKPB.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong yang ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya, di kediamannya di Meru Desa Park, antara jam 8.15 malam dengan jam 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Paul Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogolnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya. – Bernama

Pas, UMNO mesyuarat malam ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker