Dua bulan kuarantin diri di hutan sebab COVID-19 [ VIDEO ]

[LAPORAN KHAS] Hanya terdapat 1,648 orang asli suku Bateq bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Tragedi demam campak tahun lalu yang mengorban 14 nyawa memberi trauma luar biasa kepada etnik ini.

Misteri pandemik Covid-19 menyebabkan ratusan orang asli Bateq di Kampung Kuala Koh dan Kampung Aring 5 di Gua Musang, Kelantan mengambil pendekatan tersendiri mengkuaratinkan diri di hutan selama hampir dua bulan.

Wartawan Sinar Harian, Nurul Riduan Nor Ashaha dan Liza Mokhtar berkampung enam hari di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini untuk membongkar kisah unik orang asli Bateq.

Orang asli suku Bateq yang hanya berjumlah 1,648 orang mempunyai kisah unik dan tersendiri berbanding suku orang asli lain di Malaysia.

Masyarakat minoriti daripada keluarga Negrito itu sejak sekian lama berasimilasi dengan alam semula jadi. Namun, sejak hampir 30 tahun lalu, mereka sedikit demi sedikit meninggalkan amalan berpindah-randah atau nomad yang diwarisi.

Kebanyakan mereka tinggal di pinggir-pinggir hutan selepas kerajaan membina perkampungan tetap bagi membolehkan lebih banyak bantuan dapat disalurkan dan orang asli Bateq dapat menerima tempias pembangunan.

Uniknya, orang asli Bateq itu hanya boleh ditemui di tiga buah negeri iaitu di Pahang, Kelantan serta Terengganu. Mengikut rekod, orang asli suku Bateq dipercayai berhijrah ke Malaysia sejak beribu-ribu tahun lalu dari Indo-China dengan berjalan kaki melalui gunung-ganang. Kisah mereka mula didokumentasikan oleh penulis Rusia bernama Nicholai Miklukho-Maklai pada tahun 1878.

Tahun lalu iaitu pada bulan Jun 2019, kisah masyarakat orang asli Bateq yang berambut kerinting halus, kulit hitam manis dan berwajah bulat lebar mendapat perhatian dunia selepas 14 penduduk di Kampung Kuala Koh, di Gua Musang terkorban akibat penyakit misteri, sebelum dikenal pasti sebagai wabak campak.

Misteri kematian di peringkat awal menyebabkan hampir 200 penduduk mengambil langkah berpindah ke dalam hutan dengan membina pondok dan khemah baharu sebagai penempatan sementara.

Penduduk kampung akan bergotong royong mendirikan khemah selepas lokasi perpindahan ditetapkan.
Ironinya, mereka sebenarnya menghidupkan amalan nenek moyang mereka yang berpindah randah setiap kali berlakunya bencana, penyakit dan kematian.

Tahun ini, kurang setahun daripada tragedi campak itu, masyarakat orang asli Batek di tiga kampung di Pos Lebir iaitu Kampung Kuala Koh, Kampung Aring 5 dan Kampung Machang sekali lagi menghidupkan amalan tradisi itu dengan kembali ke hutan pada 20 Mac lalu.

Namun, kali ini bukan kerana wabak campak tetapi kerisauan berdepan dengan virus pembunuh baharu Covid-19.

Di kala kita semua berkurung di dalam rumah ketika fasa pertama permulaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, masyarakat orang asli Bateq tidak berfikir panjang dalam usaha memastikan seluruh penduduk kampung terselamat daripada ancaman virus.

Mendalami sejauh mana kebenaran itu, penulis menjejakkan kaki ke Kampung Aring 5 yang terletak hampir 70 kilometer dari pekan Gua Musang, Kelantan untuk bertemu dengan Tok Penghulu, Raina Anjang, 50, bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian itu.

Raina yang berketinggian sekitar 165 sentimeter dan berambut kerinting serta berkaca mata tidak lokek bercerita kebenaran yang menjadi buah mulut masyarakat di sekitar Gua Musang.

“Kami jadi takut dan runsing bila mendengar mengenai wabak Covid-19. Selepas kerajaan umumkan PKP, saya dan penduduk kampung buat keputusan untuk mengkuaratinkan diri di hutan. Cukuplah tahun lepas kami trauma dengan wabak maut campak,” kata Raina saat kali pertama bertemu penulis.

Atas faktor itulah menurut Rania, beliau mengambil pendekatan menyarankan supaya penduduk kampung yang berjumlah 304 orang berpindah ke hutan dan menutup pintu masuk ke kampung berkenaan.

Merasai sendiri proses perpindahan itu, penulis bersama beberapa penduduk kampung menghidupkan kembali suasana yang jarang sekali dirasai oleh orang luar. Ya, kami sendiri ikut ‘berpindah’ ke dalam hutan sejauh tujuh kilometer.

Penduduk kampung menyusuri bukit kecil sebelum memasuki hutan di pinggir Hutan Simpan Kuala Koh.
Perjalanan mengambil masa lebih sejam itu amat memenatkan bagi orang luar seperti penuli, tetapi tidak bagi orang asli suku Bateq yang hidupnya bersatu dengan alam semula jadi.

Beberapa anak sungai disusuri dan beberapa anak bukit di daki sebelum tiba ke lokasi perpindahan sementara yang kedudukannya berdekatan sungai.

Lokasi itu sesuai untuk mereka menangkap ikan dan anak-anak kecil bermandi-manda.

Sewaktu hari kejadian perpindahan itu, penduduk kampung dibahagikan kepada tiga kumpulan daripada 74 keluarga supaya lokasi perpindahan itu tidak terlalu sesak.

Menariknya pembinaan khemah tidak mengambil masa yang lama, hanya dalam setengah jam berbelas-belas jenis khemah lengkap dengan para siap dibina menggunakan batang-batang pokok dan daun bertam sebagai atap.

Binaan khemah ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu khemah untuk orang bujang yang terbuka, khemah untuk pasangan yang sudah lama berkahwin yang sedikit tertutup manakala khemah pasangan baru berkahwin yang lebih tertutup rapat.

Ketika kaum lelaki membina khemah, kaum wanita pula memancing ikan dan membuat air teh. Menariknya pelbagai jenis masakan seperti nasi, sup ikan, ulam rebus kemudiannya dimasak menggunakan buluh.

Sebaik tiba waktu makan, kanak-kanak kecil yang sibuk bermain di tepi sungai juga mula pulang ke khemah masing-masing. Walaupun hidangan makan malam mereka serba ringkas, namun ia tetap sajian lengkap dan menyelerakan.

Kanak-kanak menghabiskan masa mandi-manda di sungai berhampiran lokasi perpindahan sementara.
Saat malam mengambil alih putaran alam, suasana hutan sangat mendamaikan. Tiada teknologi di depan mata, sebaliknya hanya cahaya unggun api dan disulami bunyian unggas hutan yang menghidupkan ritma alam.

Tapi malam kedatangan kami sangat istimewa. Kami dipersembahkan dengan tarian sewang daripada anak-anak muda kampung. Sesuatu yang biasa dilihat kaca TV, namun kini didepan mata dan lebih istimewa di dalam hutan sambil di kelilingi unggun api.

Selepas lebih enam minggu pelaksanaan PKP iaitu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, penduduk pulang semula ke perkampungan selepas mendapat perkhabaran daripada Raina bahawa penularan jangkitan Covid-19 sudah dapat dikawal kerajaan.

Biarpun kehidupan nomad sudah lama ditinggalkan namun perpindahan kali ini bukan sekadar untuk menghindari penularan Covid-19 tetapi mengajar golongan muda dan anak-anak kecil betapa amalan dan tradisi nenek moyang harus dikekalkan supaya tidak pupus ditelan zaman.

Peta menunjukkan lokasi dua kampung orang asli Bateq di Kuala Koh dan Aring 5 di Gua Musang.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=RXYY7i4umd4[/embedyt]

EKSKLUSIF dari SINAR HARIAN

‘Secetek’ itu Kit Siang, ‘buta’ hal ehwal Orang Asli – Ismail Sabri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker