Akak hebat ajar lelaki pandu treler, jentera berat , motosikal kuasa tinggi

Tidak ramai wanita berjaya dalam bidang pekerjaan yang dimonopoli lelaki, namun kejayaan dicapai apabila wanita ini mampu mengajar dan memandu sendiri treler serta jentera berat, juga motosikal berkuasa tinggi.

Jurulatih Institut Memandu Anda Melor, Rosniza Ghazali, 42, anak kelahiran Kampung Kedai Buloh di sini pernah menjadi wanita pertama merintis bidang pemanduan di Kelantan apabila menyertai kursus GDL Bersendi (treler), mengajar lori Kelas E dan Jentera Berat Berantai Kelas 1 pada 2012.

Malah, beliau pernah menjadi guru memandu wanita tunggal dan pertama di Akademi Memandu Berhemah Kotaraya pada 2003, atas bimbingan dan tunjuk ajar ketuanya di Institut Akademi Memandu Anda Melor, Kamaruddin Hassan, kemudian ke Harmony Driving Academy Sungai Buloh, Selangor pada 2005 hingga 2011, namun kembali berkhidmat di Institut Akademi Memandu Anda Melor sehingga sekarang.

“Mengajar memandu ini melibatkan nyawa dan cenderung kepada risiko kemalangan jalan raya, sebab itulah tidak ramai wanita menyertai bidang ini.

“Mungkin ramai tidak tahu bidang ini memang lasak, namun keseronokan dan kepuasan hanya mereka yang berada dalam bidang ini sahaja boleh merasainya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Institut Memandu Anda Melor di sini hari ini.

Berkecimpung selama 19 tahun dalam bidang pemanduan dan melatih calon mendapatkan lesen memandu, Rosniza pernah mengikuti kursus bagi mendapatkan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) pada 2002, malah beliau berjaya menjadi guru memandu wanita dalam kalangan 10 orang di Kelantan ketika itu.

“Masa mula-mula menjadi guru memandu, memang saya akui tanggapan orang ramai terhadap guru wanita yang tidak yakin dengan kecekapan dan kemahiran dalam pemanduan.

“Ketika itu, ramai yang tidak yakin apabila saya boleh mengajar mereka memandu, namun ada dalam kalangan calon yang mahukan guru wanita terutama mereka yang menjaga aurat dan lebih selesa dengan kaum wanita,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Rosniza setelah seorang calon berjaya mendapatkan lesen, lama-kelamaan rasa tidak yakin itu beransur hilang dan semakin ramai yang memohon guru memandu wanita mengajar mereka.

Menariknya dalam pengalaman Rosniza menjadi guru memandu wanita, beliau sentiasa berhadapan dengan pelbagai ragam calon, malah tidak dapat melupakan seorang calon yang sangat fobia belajar memandu.

“Tidak silap pada 1997 calon perempuan berusia 18 tahun belajar kereta namun akibat terlalu takut, semasa mempraktikkan kemahiran itu dia mengambil masa satu jam untuk menggerakkan kereta.

“Bayangkan ketika pertama kali dia memandu, stereng yang dibawa berpusing ke kiri dan kanan semasa di jalan raya berikutan perasaannya yang terlalu gemuruh,” katanya.

Rosniza berkata dalam situasi sebegitu, beliau mengambil langkah menenangkan calon berkenaan, memujuknya supaya tidak lemah semangat dan meneruskan usaha sehingga mendapat lesen memandu.

Menurutnya, usaha itu berhasil apabila calon tersebut berjaya mendapatkan lesen memandu setelah mengambil kelas teori dan praktikal selama dua hari dalam tempoh 25 jam.

Kini, Rosliza lebih menumpukan perhatian namun terhadap pengurusan di pejabat, namun sesekali atas minatnya beliau masih meninjau keadaan di litar kerana di situlah tempat dia bermula.

Sementara itu, calon untuk lesen motosikal berkuasa tinggi, Mohd Zulkarnain Deraman, 44, berkata beliau yakin dengan kebolehan yang dimiliki oleh Rosniza sebagai Pelatih dan Penilai bagi lesen memandu kenderaan berat.

“Pada mulanya saya terkejut melihat wanita yang mengajar lelaki memandu, tetapi apabila berurusan dalam bidang ini, beliau tahu semua selok-belok mengenai kenderaan berat dan lasak,” katanya.

Bagi Mohd Shahiran Md Radze, 37, dari Kok Lanas, beliau menaik taraf lesen lorinya daripada tiga tan kepada lori 7.5 tan ke bawah di institut memandu tersebut.

“Rosniza mampu membuktikan bidang sebegini dapat dikuasai oleh wanita sekali gus usahanya memberi semangat untuk calon lebih yakin bahawa kita boleh memandu dengan baik,” katanya. BERNAMA

Anak, isteri maut selepas treler dipandu suami hilang kawalan

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker