Anak, isteri maut selepas treler dipandu suami hilang kawalan

Dua beranak maut selepas kenderaan treler muatan tiang besi itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai, di sini pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz, lori tersebut dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Cameron Highlands.
“Pihak kami terima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 2.40 petang, pemandu lori itu dikenali sebagai Mohd Zuki Abu Bakar, 45.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah lori bersama muatan tiang besi yang dipandu oleh Mohd Zuki bersama-sama isteri dan anak lelaki mereka terbabas di KM 20 Jalan Keramat Pulai.

“Punca kemalangan disebabkan hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan dan masuk ke longkang sehingga menyebabkan kenderaan remuk di bahagian kepala lori,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.



Katanya, pemandu lori itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala dua lagi mangsa iaitu isteri dan anak lelakinya yang tersepit dikeluarkan daripada lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ujarnya lagi, butiran mangsa yang maut masih dalam siasatan dan pemandu lori tersebut masih menerima rawatan di Zon Kuning HRPB Ipoh kerana dipercayai mengalami kecederaan patah kaki.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Awani



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker