Apa tawaran baru dan rekonsiliasi kepada UMNO?

Pada awal pembentukan kerajaan baharu selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari lalu, Barisan Nasional (BN) dan UMNO hanya membuat pendirian menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, ketika itu tidak timbul langsung BN dan UMNO menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai parti.

“BN ketika itu membuat pendirian hanya menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, bukan menyokong PN sebagai parti.

“Pengumuman Muhyiddin selaku Perdana Menteri pada 9 Mac lalu, tidak ada langsung gabungan PN.

“Yang kita tahu, Ahli Parlimen BN dan Pas memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atas dasar untuk menyelamatkan kemelut politik yang dilakukan sendiri oleh kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Beliau menjelaskan, selepas Kabinet dibentuk dan kerajaan berjalan beberapa bulan, baru ada gerakan untuk menamakan kerajaan PN.

Katanya, yang mencadangkan nama itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa Ahli Parlimennya.

“Mereka bekerja keras untuk merealisasikan PN untuk menyelamatkan kepentingan mereka sendiri, termasuk menggunakan pengaruh sebagai kerajaan mengheret Pas untuk menyertai PN.

“Bagaimanapun, usul untuk membentuk PN dibawa ke mesyuarat MT UMNO dan ditolak sebulat suara, tetapi pendirian UMNO masih kekal dengan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, bukan kepada PN sebagai sebuah parti.

“Ramai bertanya, kenapa perlu daftarkan PN sebagai parti. PH yang didaftarkan sebagai parti kalah teruk dalam setiap pilihan raya kecil yang disertainya walaupun mereka kerajaan, dan ini bermaksud daftar atau tidak bukan satu jalan penyelesaian untuk sebuah gabungan,” ujarnya.

Kata Razlan, Pakatan Rakyat (PR) pernah memerintah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak tanpa ada gabungan sebuah parti.

Yang rakyat tahu, kata beliau, ia adalah formula Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana mahu menunjukkan parti mereka juga setaraf dengan parti komponen lain walaupun paling kecil dalam komponen PH.

“Inilah yang cuba dibuat oleh PN. Ramai akar umbi UMNO jelas melihat permainan PPBM di setiap bahagian, ada yang bergantung harap dengan kekuatan UMNO, ada juga berharap dengan kekuatan Pas dan ada bahagian yang tidak mempunyai kekuatan atau cawangan, namun itu bukan isu utama.

“Isu utama ialah PPBM harus ada sifat ikhlas dalam membentuk kerjasama dengan UMNO,” tegasnya.

Beliau menegaskan, UMNO adalah parti berstruktur dan setiap perkara, permasalahan serta pendapat dalam parti selalunya ada saluran untuk bermusyawarah dan berbincang untuk mendapatkan keputusan.

“Ini cara UMNO sejak penubuhan, bukan satu atau dua orang yang berpengaruh membuat keputusan seperti PPBM.

“UMNO juga parti yang sentiasa memegang dan menunaikan janji. Kerana itu bila janji tidak dikota oleh PPBM seperti apa yang berlaku di PRN Sabah, UMNO marah.

“Atas dasar itu, UMNO membuat ketetapan untuk mengkaji semula ikatan politik dengan komponen PN agar UMNO tidak lagi diperkotak-katik atau terdapat agenda “tersembunyi” yang bakal merugikan UMNO untuk jangka panjang,” katanya.

Mengenai sokongan UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Razlan berkata, soal itu tidak perlu dipertikaikan kerana UMNO sudah membuat ketetapan “No Anwar No DAP dan No Tun M.

“Yang menjadi keutamaan sekarang adalah apa tawaran baru dan rekonsiliasi dari Muhyiddin kepada UMNO jika ingin meneruskan ikatan politik dan meneruskan kerajaan sedia ada.

“UMNO juga ada hati, perasaan dan maruah. Tahap kesabaran juga ada hadnya. Biar berkawan ikhlas dan berpolitik bermaruah,” katanya. MG

UMNO antara marah dan kecewa

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker