‘Saya juga nak gantung poster, cari jodoh’
Marang: Melihat kejayaan Nooraziro Abdullah, 35, bertemu pasangan hidup selepas menggantung poster mencari jodoh, pemuda dari Kampung Gong Tok Nasek di sini, memasang hasrat untuk mengikut langkah sama.
Bukan sekadar cakap kosong, Rezuan Omar, 39, sudah pun bertemu dengan Nooraziro pada Majlis Sambut Menantunya di Kampung Gong Nangka, di sini, hari ini, untuk menyuarakan hasratnya itu serta mahu meminta pandangan.
“Saya sudah lama ingin berjumpa dengan Nooraziro dan bertanya mengenai pengalamannya menggantung poster untuk mencari jodoh.
“Jika boleh saya ingin menggantung poster untuk mencari jodoh tetapi bukan dalam masa terdekat.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Nooraziro menggantung poster untuk mencari jodoh sehingga menjadi tular seterusnya berkenalan dengan kekasih pilihan hatinya Nur Suhaibah Ab Ghani, 33, dari Kampung Jaya Gading,Kuantan, Pahang dan berkahwin pada 10 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Nooraziro berkata, dia menyokong sekiranya mana-mana lelaki yang masih bujang dan teringin berkahwin mengikut jejak langkahnya menggantung poster untuk mencari jodoh.
“Orang bujang jika nak cari jodoh buat seperti saya dengan syarat niat mesti ikhlas dan jangan malu.
“Pada mulanya memang menjadi bualan dan bahan ketawa tetapi pada akhirnya akan terbiasa dan perbuatan itu diterima masyarakat serta mendapat pujian ramai,” katanya.
Nooraziro juga berpesan kepada sesiapa yang mahu mengikut jejaknya itu supaya tidak hiraukan kata orang kerana paling penting hasrat temui jodoh dan berkahwin tercapai.
“Cuma hati kena kuat dan bersabar menempuh segala ujian dalam proses untuk mengenali ramai wanita yang menyatakan minat kepada kita nanti,” katanya.
Dia juga mengakui, selain wanita, ramai lelaki yang turut menghubunginya dan bertanya pengalaman selepas tindakannya itu tular.
“Ramai yang cakap nak buat tetapi setakat ini tiada siapa lagi yang bertindak dan mengikut jejak langkah saya.
“Berkemungkinan mereka malu dan mempunyai alasan sendiri tetapi bagi saya jika betul ingin berkahwin tidak perlu malu,” katanya.
Mengenai kehidupan sekarang, Nooraziro berkata, dia lebih terurus dan hidupnya lebih bermakna dan terisi sejak berkahwin.
“Makan dan pakai saya sekarang isteri yang uruskan. Cakap sahaja makanan apa yang nak makan pasti isteri akan sediakan,” katanya.
Isterinya, Nur Suhaibah berkata, dia masih dalam proses menyesuaikan diri sebagai isteri kepada Nooraziro.
“Saya bersyukur kerana sah menjadi isteri kepada Nooraziro, walaupun banyak tanggungjawab sebagai isteri perlu dijalankan tetapi seronok kerana suami turut membantu.
“Sebelum ini hanya fikir tentang diri sendiri sahaja tetapi sekarang perlu juga fikir keperluan suami di rumah,” katanya.-HM
Usaha pasang poster cari jodoh berhasil akhirnya dan Aziro selamat bergelar suami
You must be logged in to post a comment.