COVID-19, faktor pengaruhi tarikh PRN Sarawak – Wan Junaidi
Peningkatan kes COVID-19 yang sedang berlaku di negara ini dan ‘landas’ atau banjir yang lazimnya melanda Sarawak pada penghujung tahun dilihat antara faktor yang akan mempengaruhi tarikh pilihan raya negeri (PRN) itu.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tidak dinafikan PRN Sarawak sudah semakin hampir namun soal bila akan diadakan adalah hak prerogatif Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk memutuskannya.
“Ini semua kehendak undang-undang serta perlembagaan dan bukannya kehendak politik. Dalam keadaan sekarang, kita berhadapan dengan pandemik COVID-19, makanya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memutuskan prosedur operasi standard (SOP) yang tertentu di semua tempat yang terlibat dengan pilihan raya kelak.
“Kita melihat perkara (pilihan raya) ini bakal berlaku selewat-lewatnya pun pada Jun 2021. Sekarang sudah bulan Oktober 2020. Memang tidak jauh lagi dan sebab itulah persediaan harus bermula dari sekarang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Pilihan Raya komponen Gabungan Parti Sarawak, di sini hari ini.
Tempoh mandat kerajaan negeri sedia ada akan tamat pada Jun 2021.
Ditanya sama ada PRN mungkin diadakan hujung tahun ini yang sinonim dengan musim ‘landas’ di Sarawak, Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, secara peribadi beliau akan melihat dari sudut sejarah, sama ada perkara itu pernah berlaku dan jenis cabaran yang dihadapi.
Untuk rekod, Sarawak pernah mengadakan pilihan raya pada penghujung tahun iaitu pilihan raya negeri keempat pada 28 hingga 29 Disember 1983.
Mengenai peningkatan kes COVID-19 yang antara lain dikaitkan dengan PRN Sabah, Ahli Parlimen Santubong itu tidak bersetuju sekiranya darurat kesihatan diisytiharkan atas tujuan untuk tidak melaksanakan PRN.
Ini kerana, katanya, kesihatan tidak pernah dinyatakan sebagai keadaan darurat yang pernah diumumkan oleh mana-mana negara di dunia ini untuk mengelakkan tugas konstituensi.
“COVID-19 dapat ditangani sebenarnya, dengan syarat semua orang bekerjasama seperti melakukan penjarakan fizikal, menggunakan pelitup muka dan mengelakkan tempat yang sesak. Justeru, hal itu (kesihatan) tidak boleh dianggap sebagai hal yang dapat kita nyatakan sebagai darurat,” katanya. – Bernama