Bantuan Prihatin Nasional 2.0 dibayar 26 Oktober ini

KUALA LUMPUR: Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion akan disalurkan kepada 10.6 juta penerima BPN sedia ada mengikut kategori isi rumah dan individu bujang, secara berperingkat bermula 26 Oktober ini.

Pecahan bayaran fasa pertama BPN 2.0 berjumlah RM4.8 bilion bagi kategori pertama penerima adalah isi rumah B40 yang akan menerima RM1,000 sementara RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang.

Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung Oktober dan keduanya pada Januari 2021.

Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada Januari 2021 adalah sebanyak RM300.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan peka dengan kesukaran yang dialami oleh rakyat pada saat pandemik COVID-19 ini.

“Sehubungan itu, BPN 2.0 adalah sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri pada 23 September lalu.,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, permohonan baru BPN 2.0 dibuka mulai 15 Oktober sehingga 15 November 2020, bagi membantu kumpulan mereka yang belum pernah menerima BPN sebelum ini, termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan terhadap status pendapatan mereka ekoran impak penularan COVID-19.

Menurutnya, bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan atas permohonan baharu akan dibuat dalam kadar segera.

“Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekaligus pada Januari 2021.

“Pemohon baharu BPN 2.0 boleh merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BPN iaitu https://bpn.hasil.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau untuk membuat permohonan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit, terutamanya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam membolehkan penyampaian BPN 2.0 ini dilaksanakan dengan lancar untuk kemudahan rakyat.

“Saya juga ingin menasihati rakyat agar berhati-hati dengan scammers yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan BPN 2.0 ini.

“Penerima disarankan untuk merujuk kepada sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat peribadi kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali,” katanya-BH

 

Cara Mohon dan Semak Kelayakan Bantuan Prihatin Nasional 2.0 Untuk Golongan B40, M40

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker