UMNO tidak tamak kuasa
KUALA TERENGGANU – Tindakan UMNO mengumumkan untuk membuat pertimbangan menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) harus dilihat dari sudut yang lebih rasional, bukan semata-mata ‘politiking’.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ia juga membuktikan kepimpinan UMNO tidak tamak kuasa dan sedia bergerak sendiri jika kerajaan PN yang didominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mampu bekerjasama dengan parti itu dalam konteks kepentingan rakyat.
Menurutnya, UMNO tidak boleh dipersalahkan secara melulu dan mengatakan keputusan itu disebabkan ketamakan kuasa atau kesombongan UMNO.
“Umum mengetahui kerjasama UMNO dengan PN adalah rapuh dan tidak sekuat Muafakat Nasional (MN). Suara dan hasrat ahli UMNO yang setia juga perlu didengari kepimpinan di mana mereka tidak bersetuju dengan kerjasama UMNO dengan Bersatu.
“Kerajaan PN bukan sahaja lemah dalam sokongan ahli Parlimen, malah lemah dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan. Tidak dinafikan pandemik Covid-19 turut mempengaruhi prestasi kerajaan tetapi kita dapat melihat kerajaan PN pada hari ini tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
“Tidak sebagaimana Kerajaan BN sebelum ini yang mempunyai pelbagai dasar strategik seperti Transformasi Nasional 50, Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya yang jelas memberi manfaat hingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Najmil Faiz berkata, sekiranya ingin kekal sebagai sebuah gabungan, negara memerlukan hala tuju yang tepat supaya dapat meningkatkan keyakinan rakyat.
Beliau berkata, UMNO juga mestilah bersifat tegas dalam kerjasama politik ini kerana tidak mahu rakyat rugi di kemudian hari-SH