Sokong Anwar pandangan peribadi Tajuddin, bukan Umno

Share

Beberapa ahli Umno berkata kenyataan ahli majlis kerja tertinggi Tajuddin Abdul Rahman akan menyokong Anwar Ibrahim sekiranya mempunyai formula yang dapat membahagiakan semua parti terlibat adalah “pandangan peribadinya”.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin memberitahu FMT, itu adalah pandangan peribadi Tajuddin dan beliau enggan mengulas lanjut.

Veteran Umno Shahidan Kassim berkata, Tajuddin bebas menyatakan pandangan peribadinya.

Katanya, lebih baik bagi Umno membincangkan tuntutannya dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu.

“Jika kita mahu rombakan (Kabinet) atau lain-lain, lebih baik kita bincang dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu.”

Ini kerana, katanya, bekerja dengan Anwar sama seperti bekerja dengan DAP. “Kami tidak mahu bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Ahli majlis kerja tertinggi Umno Razlan Rafii berkata, kerjasama dengan Anwar tidak dibincangkan dalam mesyuarat tertutup pemimpin parti malam tadi.

Beliau berkata, beberapa pandangan dikongsi dalam kalangan ahli Umno malam tadi, termasuk kemungkinan tidak berada dalam Kabinet tetapi terus menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Kami mungkin tidak mendesak pilihan raya kilat diadakan selepas peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Tetapi dia tidak menyatakan sama ada menyokong atau menolak pandangan Tajuddin.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata beliau menentang idea itu.

“Mana mungkin kita menjustifikasi tiba-tiba beralih sokongan terhadap lawan tradisi kita semata-mata sebab mungkin kurang puas hati dengan rakan sekarang (PPBM)? Apa akan jadi terhadap kredibiliti parti di mata rakyat?” soalnya.

“Kita akan lihat apa akan berlaku bila Majlis Kerja Tertinggi Umno bermesyuarat,” katanya.

Terdahulu, Tajuddin menyatakan tidak mustahil Umno memberikan sokongan kepada presiden PKR itu untuk membentuk kerajaan baharu.

Bercakap kepada Astro Awani, beliau berkata tidak mustahil parti lain turut memberikan sokongan kepada Anwar, sekiranya berpendapat pemimpin berkenaan boleh memberikan apa yang parti itu mahukan.

Semalam, selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Anwar mendakwa beliau mendapat sokongan 120 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Umno turut menyatakan parti itu mempertimbangkan menarik diri daripada Perikatan Nasional. FMT

Jangan terkejut jika UMNO beri sokongan kepada Anwar – Tajuddin

Leave a Reply