Pemimpin akar umbi PPBM khuatir kerajaan PN akan runtuh
Sebilangan pemimpin akar umbi PPBM khuatir kerajaan gabungan pimpinan parti itu mungkin runtuh.
Mereka merasakan kepimpinan PPBM harus akur kepada beberapa tuntutan Umno, termasuk jawatan timbalan perdana menteri, untuk mengekalkan pemerintahan.
Ia susulan Umno mempertimbangkan untuk menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Tiga pemimpin akar umbi yang FMT hubungi memberitahu, selepas apa yang dihadapi dengan Umno di Sabah, pemimpin PPBM perlu akur kepada Umno untuk menyelamatkan gabungan itu.
Seorang pemimpin bahagian dari Lembah Klang yang tidak mahu namanya disebutkan berkata, mereka masih bingung mengenai pertemuan antara Ahmad Maslan dan Tengku Adnan Tengku Mansor dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Muhyiddin juga adalah presiden PPBM.
“Kami tidak tahu hasil pertemuan itu, tetapi kami berharap Muhyiddin melakukan yang terbaik untuk parti.
“Kami dengar Umno minta jawatan timbalan perdana menteri. Mengapa tidak memberikannya kepada mereka? Ini akan menyelamatkan gabungan,” katanya, merujuk kepada spekulasi Umno mengintai jawatan nombor 2 dalam kerajaan, antara tuntutan selain rombakan Kabinet.
Katanya, PPBM diberi amaran oleh Dr Mahathir Mohamad yang Umno akan melakukan beberapa tindakan untuk memastikan tidak ada pendakwaan terhadap pemimpinnya.
Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum Mei 2018 tetapi kembali berkuasa pada Februari dengan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang baharu.
Ketua bahagian itu berkata: Pemimpin parti perlu faham Umno mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen. Sekiranya mereka menarik diri, kerajaan akan runtuh.”
Seorang ketua cawangan PPBM dari negeri lain memberitahu FMT, Muhyiddin mungkin perlu mengorbankan Azmin Ali yang mengambil alih kepimpinan negara semasa ketiadaannya.
Pada 11 Mac lalu, ketika sidang media pertama Muyhiddin selepas mengambil alih pemerintahan, menyatakan menteri kanannya, Azmin, akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet sekiranya beliau tidak hadir.
“Kami parti kecil. Kami memutuskan untuk bekerjasama dengan Umno. Sekarang jika mereka mahu jawatan timbalan perdana menteri, kita mesti bersedia untuk bersetuju. Jika tidak, kita mungkin akan kehilangan pemerintahan, ”katanya.
Seorang ahli jawatankuasa cawangan lain memberitahu FMT, kekecewaan meningkat dalam kalangan ahli bawahan parti.
“Pemimpin tidak memberi kami apa-apa atau kepada parti lain,” katanya, merujuk kepada ancaman Umno untuk menarik diri daripada PN.
Katanya, ahli PPBM yang menyokong Muhyiddin merasakan mereka diabaikan.
“Setidaknya beri kami beberapa projek kecil atau perniagaan kecil sehingga kami mempunyai wang untuk melakukan kerja parti. Habuk pun tak da,” katanya.
“Kami merasa diabaikan bawah Dr Mahathir Mohamad dan sekarang Muhyiddin.”
Pada 23 September, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata jangan terkejut jika Umno memberi kerjasama kepada Anwar jika presiden PKR itu mempunyai formula yang boleh membahagiakan semua pihak di dalam parti itu sendiri. FMT
You must be logged in to post a comment.