MP desak kerajaan lanjut pengecualian sewa PPR, PA 6 bulan
Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang mendesak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melanjutkan tempoh pengecualian sewa selama enam bulan lagi terhadap perumahan di bawah pengurusan kementerian itu.
Dia mencadangkan lanjutan pengecualian sewa itu diberikan kepada penyewa-penyewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), sehingga Mac 2021.
Katanya, ia memandangkan ekonomi negara masih di tahap genting dan belum pulih daripada kesan wabak Covid-19, sedangkan pengecualian sewa berkenaan hanya melibatkan kos sebanyak RM3 juta – kos yang tidak besar untuk sebuah kerajaan, namun dapat membantu puluhan ribu penyewa.
“Rakyat kebanyakan masih hidup dalam keadaan yang tertekan, aktiviti ekonomi negara juga belum pulih dari kesan pandemik Covid-19.
“[…] Puluhan ribu penyewa PPR dan PA merupakan golongan B40 yang menghadapi masalah kewangan paling ketara dalam kemelut ini. Bayaran pinjaman bank selepas tamatnya moratorium sudah memberi kesan kewangan yang cukup besar ke atas keluarga-keluarga ini yang berpendapatan kecil.
“Kalau kerajaan enggan lanjutkan tempoh pengecualian sewa untuk mereka, ramai di kalangan mereka akan menderita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu mengumumkan pengecualian bayaran sewa selama enam bulan bermula April hingga September kepada penyewa PPR dan PA di bawah KPKT dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini bermakna, bayaran sewa sepatutnya dibuat bermula bulan ini selepas pencualian tamat.
Ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19, kerajaan kini terpaksa mengetatkan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) di beberapa tempat, contohnya PKP bersyarat (PKPB) di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dan PKP diperketatkan (PKPD) di beberapa tempat di Sabah dan Kedah.
Chang turut memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan Malaysia mengalami penyusutan ekonomi ketara, iaitu keluaran dalam negara kasar (KDNK) susut sebanyak 17.1 peratus dalam suku kedua 2020, serta kadar pengagguran sebanyak 4.7 peratus atau 745,100 pada Julai dan Ogos, meningkat berbanding tahun lalu.
“Maka, kerajaan harus memberi pertimbangan yang serius atas saranan ini,” katanya.
Undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, tidak bermakna sokong Anwar – MP UMNO
You must be logged in to post a comment.