Ku Li kena runding dengan Takiyuddin bawa usul tidak percaya PM, kata Azhar
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mencadangkan ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan bagi membolehkan usul persendirian diberi keutamaan dan dibentang di Dewan Rakyat.
Azhar berkata, tugasnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat terikat dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sedia ada, menjawab pertikaian dibangkitkan Tengku Razaleigh yang memohon jaminan supaya usul tidak percaya dibawa ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad dibentang di Dewan Rakyat.
“Mana-mana ahli Dewan Rakyat boleh memberi notis untuk membentangkan usul dan ia akan dipertimbangkan berdasarkan peraturan mesyuarat. Justeru, saya tidak ada masalah untuk mempertimbangkan usul-usul persendirian jika selesai semua urusan kerajaan.
“Atau pun terdapat usul-usul oleh seorang menteri di bawah Peraturan 14(2) untuk mendahulukan usul-usul persendirian,” katanya dalam surat diutuskan kepada Tengku Razaleigh, bertarikh 29 September lalu berhubung usul tidak percaya.
Terdahulu, Tengku Razaleigh dalam suratnya bertarikh 25 September lalu kepada Azhar berkata, usul tidak percaya yang dibawa Mahathir amat penting atas beberapa sebab, ini termasuk membabitkan kesahihan kerajaan sekarang ini.
Menurut Tengku Razaleigh lagi, jika usul tersebut disokong oleh sebahagian besar ahli Dewan Rakyat, perkara itu haruslah dipersembahkan kepada pengetahuan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Katanya, dari segi perlembagaan ia tidak memperuntukkan dalam tatacara tetap yang boleh menghalang usul tidak percaya ini daripada dibentang di Dewan Rakyat dan mengharap usul ini dijadikan sebagai suatu keutamaan pada persidangan akan datang.
Azhar berkata, dakwaan yang menyatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak membenarkan usul tidak percaya dibahaskan dengan cara menyenaraikan di penghujung senarai kertas aturan urusan mesyuarat harian juga adalah tidak benar.
“Hal ini kerana, usul tersebut disenaraikan dalam aturan urusan mesyuarat mengikut peraturan-peraturan mesyuarat, namun urusan kerajaan perlu didahulukan seperti yang termaktub bawah peraturan-peraturan mesyuarat,” katanya.
Azhar berkata, Dewan Rakyat juga sebelum ini menerima usul percaya terhadap perdana menteri yang dibawa oleh ahli Parlimen Pasir Puteh, Sabak Bernam dan Arau, yang disenaraikan berdasarkan masa penerimaan usul tersebut.
“Usul persendirian yang diterima terlebih dahulu akan disenaraikan susunan awal di kertas aturan urusan mesyuarat. Dalam hal ini, usul-usul persendiran daripada ahli Parlimen Tuaran, Bukit Gantang, Gerik dan Arau diterima lebih awal berbanding usul ahli Parlimen Langkawi.
“Susunan aturan mesyuarat yang lalu sebenarnya dibuat oleh bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang lalu dan bukannya saya,” katanya.
Mengikut takwim laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 2 November depan. FMT
Pengerusi SPR label pengundi Kelantan di KL sebagai kaki kelab malam?
You must be logged in to post a comment.