Pengerusi SPR label pengundi Kelantan di KL sebagai kaki kelab malam?

Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun yang melabel orang Kelantan di Kuala Lumpur sebagai ‘kaki kelab malam’ merupakan satu bentuk penghinaan kepada seluruh rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, berdasarkan kenyataan Azhar yang tular dalam media sosial dan akhbar itu jelas menggambarkan seolah-olah majoriti rakyat Kelantan yang berada di luar tidak tahu tentang dosa dan pahala.

“Ucapan itu dianggap keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka negatif rakyat negeri lain terhadap rakyat Kelantan sehingga boleh mencetuskan sentimen kenegerian. Beliau sebagai Pengerusi SPR sewajarnya lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan umum.

“Beliau juga seharusnya lebih mengetahui fakta sejarah Kelantan yang sinonim dengan panggilan Negeri Serambi Mekah kerana itu menggambarkan betapa dekatnya rakyat negeri ini dengan kehidupan beragama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Azhar dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dibuat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang mengundi di tempat dia mendaftar sebagai pengundi walaupun tinggal di tempat lain.

Kata Azhar, disebabkan perkara itu, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri ini untuk mengundi menyokong hudud sedangkan pada masa-masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata, Azhar sebagai Pengerusi SPR sepatutnya lebih memahami rakyat berhak memilih pentadbiran Islam sebagai asas kepada pemerintahan negeri masing-masing.

“Hal itu adalah suatu perkara yang baik dan tidak sepatutnya dijadikan isu.

“Sekiranya ada beberapa orang yang berbuat maksiat, adalah salah mengaitkan perbuatan itu dengan seluruh rakyat Kelantan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker