Apa kes lelaki pukul perempuan di tempat awam?
MERAK Jalanan perhatikan, walaupun kes lelaki pukul wanita di khalayak ramai masih boleh dikira dengan jari namun impaknya besar lebih-lebih lagi jika rakaman videonya tersebar di media sosial.
Ia juga memberi mesej yang salah mengenai bagaimana lelaki sepatutnya melayan kaum hawa.
Itu bukanlah insiden pertama di negara ini. Seingat Merak Jalanan, ada satu kes di Melaka seorang lelaki pukul wanita dengan ekzos kereta. Kejadian itu sudah menjadi kes mahkamah.
Pasal makan, orang lupa penjarakan sosial
Di Keramat, Kuala Lumpur, seorang lelaki tumbuk wanita dalam insiden kecil di jalan raya. Dalam kes di Pulau Pinang pula, seorang jurujual wanita yang bekerja di kedai serbaneka ditampar pelanggan lelaki yang berang kerana tidak dibenarkan membeli tiga peket minyak masak.
Merak Jalanan selalu diingatkan bahawa wanita insan yang lemah.
Walaupun lemah, itu tidak bermakna lelaki boleh sesuka hati naik tangan memukul mereka. Mereka sepatutnya dibelai dan dijaga dengan penuh kasih sayang.
Lelaki pukul perempuan itu salah. Tetapi tentulah juga ada sebab kenapa mereka berbuat demikian. Kadang-kadang sebabnya remeh sahaja.
Bagi Merak Jalanan, bila lelaki tergamak pukul perempuan atas sebab yang kecil, mestilah ada yang tidak kena dengannya.
Mungkin dia baran dan sifat itu berkait rapat dengan kesihatan mental dan emosi seseorang.
Masalah kewangan, hubungan kekeluargaan yang longgar, tekanan di tempat kerja atau konflik dengan pasangan boleh menyebabkan seseorang jadi baran.
Keadaan jadi lebih buruk apabila kehidupan seseorang tidak dipandu oleh ajaran agamanya.
Mungkinkah di sebalik suatu masalah, ada masalah yang lebih besar lagi?
You must be logged in to post a comment.