Jawapan balas Dr Noor Hisham kepada “pakar” KKM
Dr Noor Hisham Abdullah
Saya baca warkah Dr Tachdijan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertajuk ‘Cukuplah abah, anak-anak derita’ dengan cukup teliti. Meskipun ia bukan ditujukan kepada saya, namun sebagai Ketua Pengarah Kesihatan saya perlu faham apa yang ‘anggota KKM’ ini cuba sampaikan, tidak kiralah apa pangkat, gred atau profesion mereka.
Saya terfikir juga, apabila dikatakan doktor adalah seorang pakar di Kementerian Kesihatan (KKM), secara terus ia lebih menarik perhatian semua pihak untuk membacanya. Seorang doktor pakar di KKM pastinya beretika dan mempunyai kredibiliti. Itu yang saya harapkan daripada pakar KKM.
Saya harus akui, saya merasa kesal. Dalam warkah tersebut, jelas doktor telah mendedahkan identiti seorang pesakit kepada umum dengan merujuk kepada individu ternama di Sabah yang dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE). Untuk makluman doktor, ini menyalahi tata etika seorang doktor perubatan. Kerahsiaan pesakit adalah keutamaan dalam kerjaya perubatan dan KKM sentiasa menekankan perkara ini.
Saya harap ini bukanlah satu kebiasaan yang doktor amalkan kerana KKM sememangnya bergantung kepada Pegawai Perubatan Pakar untuk mendidik Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Siswazah.
Doktor juga agak arif dengan selok-belok di HQE, namun mungkin perlu menyemak kembali protokol pengendalian Individu Dalam Siasatan (patient under investigation, PUI) yang disahkan Covid-19 ke hospital Covid-19. Kes yang sememangnya telah disahkan status jangkitan sebagai positif dan didapati stabil akan dimasukkan terus ke wad Covid-19.
Protokol sama digunakan untuk semua kes, tanpa mengira status kes dalam masyarakat. Kemungkinan ada situasi di mana kes perlu menunggu katil dikosongkan di wad Covid-19. Ini mungkin berlaku dari semasa ke semasa.
Sememangnya jumlah kes Covid-19 semakin meningkat, terutama di Sabah. Setiap hari saya sendiri bentangkan data kes harian setiap hari di pelbagai platform termasuk dalam mesyuarat harian bersama perdana menteri dan juga sidang media sekitar pukul enam petang. Kini kedua-duanya dijalankan secara telesidang.
Saya juga telah menerangkan tindakan-tindakan yang dilakukan kerajaan bagi memastikan terdapatnya kapasiti ujian di makmal-makmal, peningkatan jumlah katil bagi kes-kes Covid-19 agar ianya mencukupi, pembelian peralatan dan pengagihan alat bantuan pernafasan dan sebagainya. Lihat sahaja infografik yang saya muat naik. Ia amat mudah untuk difahami.
Pada awalnya petugas di Kota Kinabalu digerakkan untuk membantu hospital di daerah timur Sabah serta pusat-pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah. Kemudian KKM gerakkan pula petugas kesihatan daripada seluruh negeri ke Sabah. Mereka turut ditempatkan di hospital-hospital di Kota Kinabalu bagi menggantikan lompong keperluan petugas di sana.
Sememangnya tidak dinafikan ia lebih mencabar apabila petugas Kesihatan juga dijangkiti Covid-19 sama ada daripada komuniti, tempat kerja, rakan setugas atau semasa pengendalian kes Covid-19.
Mereka perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan, dan kontak rapat perlu dikuarantin. Namun begitu, pujian harus diberi kepada pihak Pengurusan HQE dan juga Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah. Pelan mobilisasi diteruskan, perkhidmatan berjalan dan situasi dijangka bertambah baik. Petugas Kesihatan terus cekal bertugas sementara lebih ramai pasukan bantuan perubatan tiba.
Pandangan doktor mengenai bekalan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) adalah bernas. Perancangan awal perlu dibuat dan bekalan perlu dipantau rapat. KKM terus memastikan PPE mencukupi di semua hospital seluruh Malaysia, termasuk di HQE.
Di sini juga saya lampirkan status bekalan PPE untuk negeri Sabah. Kelulusan pusat telah diterima pada 2 Oktober bagi permohonan perolehan secara darurat untuk PPE untuk Sabah. Kesemuanya telah dirancang baik oleh agensi pusat, KKM dan juga JKN Sabah. Sistem pangkalan data pusat yang kita bangunkan semasa gelombang satu dan dua Covid-19 telah mengajar kita untuk lebih bersedia.
Saya bersyukur kerana KKM tidak sendirian dalam usaha ini. Malah mustahil bagi KKM bergerak sendiri menangani Covid-19. Agensi-agensi pusat yang lain telah bergerak seiring dengan KKM, terlalu banyak pihak jika hendak saya sebut satu persatu.
Begitu juga kerajaan-kerajaan negeri sehingga ke peringkat daerah. Termasuk juga pihak swasta, badan bukan Kerajaan (NGO), badan-badan pertubuhan dan semua lapisan masyarakat.
Semua pihak bersatu hati melandaikan keluk penularan semasa gelombang kedua. Pendekatan yang diambil adalah the “whole of government, the whole of society approach”. Sering ditanya oleh negara luar mengenai perkara ini. Saya bangga mengatakan: “We use whole of government, the whole of society approach”.
Namun kita boleh buat lebih baik lagi. Saya seru semua pihak, janganlah kita terus menunding jari dan saling menyalahkan. Marilah kita tumpukan tenaga dan usaha kita dalam menentang musuh kita yang sama iaitu Covid-19, sambil kita berdoa dan bertawakkal kepada Ilahi.
NOTA : Sepatutnya yang menjawab ialah Abah, bukan Dr Noor Hisham
Doktor swasta gesa Noor Hisham turun padang, dakwa KKM gagal lindungi barisan depan
You must be logged in to post a comment.