Doktor swasta gesa Noor Hisham turun padang, dakwa KKM gagal lindungi barisan depan

Share

Seorang doktor hospital swasta mendakwa pihak berkuasa kesihatan gagal melindungi barisan depan perubatan yang memerangi Covid-19, selepas kira-kira 30 kakitangan perubatan dilaporkan dijangkiti virus itu ketika bertugas.

Dr Musa Nordin dari Hospital Pakar KPJ Damansara turut menggesa Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawainya turun padang melawat hospital terjejas.

Beliau mendakwa kakitangan perubatan tidak dilengkapi alat perlindungan sewajarnya, termasuk peralatan perlindungan diri (PPE).

“KP dan pegawai tertingginya di menara gading Putrajaya perlu turun ke hospital Covid/Pusat Kesihatan Daerah/Klinik Kesihatan dan melihat serta merasai kesakitan dan kesengsaraan doktor/jururawat/profesional kesihatan bersekutu yang tiada PPE asas untuk menjaga pesakit kritikal di ICU serta meningkatkan saringan dengan 17,000 ujian sehari,” kata Musa dalam satu daripada beberapa mesej yang dikongsinya.

Semalam, Hisham dalam taklimat harian Covid-19 berkata, 150 kakitangan perubatan antara hampir 4,000 orang yang dijangkiti virus itu di seluruh negara.

Katanya, 30 daripadanya dijangkiti virus itu ketika bertugas, termasuk ketika merawat pesakit ICU.

Musa mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berusaha secukupnya untuk melindungi kakitangannya disebabkan birokrasi yang menghalang pengedaran sut keselamatan PPE.

“Adakah anda tunggu seorang doktor atau jururawat atau profesional kesihatan bersekutu kita meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum anda mula bertindak?

“Keadaan ini tidak memberi gambaran baik terhadap KKM,” katanya sambil menambah pasukan beliau sendiri menjalankan “penilaian keperluan secara teliti” di 34 hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19.

Beliau seterusnya berkata KKM “gagal melindungi barisan depan mereka”.

“Biar saya katakan dengan jelas. Ikrar perubatan kami yang pertama ialah ‘Primum Non Nocere’, iaitu jangan datangkan kemudaratan,” kata Musa.

Beliau kemudian berkata pasukannya sendiri sudah mengagihkan 6,000 PPE ke ICU dan sedang menunggu ketibaan 20,000 set lagi melalui sumbangan korporat yang diterajui sebuah syarikat media.

“Bilakah kerajaan akan mengedarkan PPE yang mereka beli dari China?” soalnya.

FMT sedang menghubungi Hisham untuk mendapatkan responsnya.

FMT

Leave a Reply