Najib: Manfaatkan MySalam, kerajaan bayar RM400 juta setahun untuk skim zaman ‘gagalkrasi’
Najib Razak menggesa kerajaan dan rakyat memanfaatkan sepenuhnya skim MySalam, mengatakan ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya walaupun kerajaan membayar RM400 juta setahun untuk skim zaman “gagalkrasi” itu.
Bekas perdana menteri itu berkata pada 2019, hanya 0.22% daripada 4,300,000 orang golongan B40, bersamaan 9,662 orang, menerima manfaat pada tahun pertama skim yang diperkenalkan pentadbiran lepas itu, melibatkan bayaran RM13.7 juta sahaja.
“Tahun pertama skim MySalam, kerajaan bayar RM400 juta, rakyat dapat balik RM13.7 juta sahaja,” katanya.
Pada tahun ini pula, katanya, jumlah keseluruhan bagi semua kes termasuk Covid-19 yang dibayar MySalam, setakat 5 Julai, cuma RM20,819,250 bagi 16,893 tuntutan sahaja.
“Setelah separuh tahun 2020 berlalu, rakyat cuma mendapat manfaat RM20.8 juta walaupun kerajaan juga bayar RM400 juta kepada syarikat insurans tersebut bagi tahun ini,” katanya.
Bingung kenapa Kementerian Kewangan pada 2018 membayar RM2 bilion, atau RM400 juta setiap tahun, kepada syarikat insurans Singapura untuk melaksanakan skim itu, Najib menyeru kerajaan dan rakyat jangan bazirkan wang yang sudah dibayar.
“Sebab yang akan dapat manfaat ialah syarikat insurans gergasi Singapura,” katanya. “Jika syarikat itu tidak ingin membayar tuntutan yang sahih atau melambatkan bayaran, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadapnya.”
Najib bagaimanapun sedar raamai yang bekerja sendiri ataupun pekerja harian sambilan takut disaring walaupun bergejala atau ada kontak rapat sebab bimbang akan hilang pendapatan.
Katanya, bagi golongan itu, “hilang satu hari bekerja bermaksud hilang pendapatan sehari”.
Oleh itu, kerajaan dan pemimpin akar umbi Barisan Nasional dan Perikatan Nasional harus bantu rakyat membuat tuntutan dan jelaskan kepada mereka yang kerajaan mampu beri gantirugi melalui MySalam jika terpaksa dimasukkan ke hospital atau dikuarantin.
“Beritahu mereka tidak perlu takut untuk disaring jika ketakutan itu berasaskan kemungkinan hilang mata pencarian,” katanya.
“Orang PH pun membisu tentang skim ketinggalan mereka ini,” tambahnya.
Skim perlindungan MySalam diperkenalkan pentadbiran lepas dengan tujuan untuk menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada 8 juta rakyat. FMT
You must be logged in to post a comment.