‘Cuci’ duit haram, RM100,000 ditemui di rumah pegawai polis
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai RM100,000 di rumah salah seorang pegawai polis yang ditahan semalam dipercayai terbabit dalam sindiket `cuci duit’ dikaitkan dengan perniagaan golongan artis.
Sumber berkata, selain pegawai berkenaan, pihaknya turut menahan enam lagi pegawai dan anggota dalam beberapa siri penahanan semalam dan hari ini.
“Seramai tiga pegawai kanan ditahan manakala lima lagi adalah anggota lain-lain pangkat.
Menurutnya, hari ini seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ditahan dipercayai kenalan kepada lelaki bergelar ‘Datuk’ yang ditahan sebelum ini.
“Dia ditahan tengah hari tadi di IPK Selangor selepas keterangan diambil Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
“Anggota berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung siasatan kes berkenaan dan pembabitannya di dalam kumpulan sindiket itu,” katanya kepada Harian Metro.
Harian Metro sebelum ini melaporkan wujud kegiatan menggunakan populariti artis untuk menjalankan aktiviti ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usahasama dan perniagaan sah.
Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.
Kaedah itu dianggap mampu mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.
Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan.
Susulan itu tiga lagi lelaki ditahan kemudian bagi membantu siasatan – HM
Guna artis cuci duit haram, 2 pegawai kanan polis ditahan (Macau Scam)