Perlumbaan untuk jadi ‘Adun mee segera’ selepas PRN Sabah
Peruntukan unik dalam perlembagaan Sabah yang membolehkan seseorang menjadi “Adun segera” sekali lagi menjadi tumpuan.
Peruntukan dalam Perkara 14(c) itu membolehkan 6 calon dilantik sebagai ahli Dewan Undangan Negeri.
Pelantikan itu perbualan dalam kalangan pemerhati politik di Sabah menyusuli majlis angkat sumpah Hajiji Noor sebagai ketua menteri selepas Gabungan Rakyat Sabah memperoleh 38 dari 73 kerusi DUN.
GRS, yang terdiri daripada PPBM, BN, dan PBS, membentuk kerajaan dengan majoriti tipis. Penganalisis menjangkakan Hajiji akan menamakan 6 orang yang akan mengukuhkan kedudukan GRS untuk berdepan Warisan Plus.
Parti pemerintah terdahulu menggunakan peruntukan itu untuk kelebihan politik. Ketua menteri sebelum ini, Shafie Apdal, menamakan Presiden Upko, Wilfred Tangau, sebagai ahli, dan kemudian melantiknya sebagai timbalan selepas pilihan raya umum 2018.
Beberapa pihak dalam komuniti Cina berharap Hajiji akan menamakan seorang atau 2 orang berketurunan Cina untuk mewakili mereka, dan mungkin juga seorang menteri dalam Kabinet Sabah kerana tiada seorang pun calon GRS berketurunan Cina menang pada pilihan raya negeri bulan lepas.
Sengit melobi
Tetapi Hajiji juga ditekan supaya menamakan seorang atau 2 orang daripada PAS, sesuatu yang jika berlaku akan menjadi wakil pertama parti Islam itu di DUN Sabah.
Desakan oleh PAS dan sekutnya, Umno, ditentang hebat oleh beberapa kumpulan di Sabah.
Pemerhati politik berkata lobi untuk jawatan itu begitu sengit.
“Apa yang lebih luar biasa adalah sekarang ada pemimpin Umno dan PAS dari Semenanjung yang cuba menentukan siapa yang perlu dilantik.
“Ini memberi banyak implikasi dan sebilangan rakyat Sabah tertanya-tanya apakah ini memberi petunjuk kerajaan negeri pimpinan GRS akan dikawal secara lebih terus,” kata seorang pemerhati.
Bekas pembantu menteri Sabah, Pang Yuk Ming, berkata sekarang masanya untuk melihat semula niat asal pelantikan itu.
“Kita juga perlu bertanya apakah 6 ahli lantikan itu sesuatu yang perlu pada hari ini,” kata Pang.
Beliau menambah gaji dan elaun untuk setiap Adun lantikan itu boleh cecah RM15,000.
Niat asal
Seorang peguam kanan Sabah, yang pernah berkhidmat dengan kerajaan negeri, menerangkan jawatan lantikan itu sepatutnya terhad masanya selepas Sabah merdeka daripada penjajahan British pada 1963.
Niat asalnya untuk membolehkan penjawat awam kanan membantu dan membimbing pentadbiran kerajaaan yang tidak berpengalaman ketika itu semasa Sabah belum bersedia untuk merdeka.
“Itulah sebabnya mengapa setiausaha negeri, peguam besar negeri, setiausaha kerajaan tempatan, dan sebagainya antara Adun yang pertama dilantik. Itulah sebabnya ahli lantikan tidak hilang kelayakan sekiranya memegang jawatan awam,” katanya.
Peruntukan itu seharusnya dimansuhkan selepas beberapa tahun. Sarawak juga mempunyai peruntukan seperti itu dan sudah memansuhkannya.
Pang, yang juga timbalan presiden Parti Cinta Sabah, berkata peruntukan itu perlu digunakan untuk tujuan asalnya, iaitu untuk melantik orang yang berkebolehan atau berkaliber bagi membantu kerajaan.
Katanya, peruntukan itu tidak boleh lagi digunakan sebagai alat untuk mengukuhkan kedudukan parti tertentu.
Beliau juga mempersoalkan keperluan untuk melantik ahli mewakili komuniti tertentu. FMT
You must be logged in to post a comment.