“Ring Lady” dari kaum Bidayuh meninggal dunia
Ranyu Daiee, salah seorang daripada empat wanita dari kaum Bidayuh yang gigih mempertahankan warisan kaumnya dengan meneruskan tradisi memakai gelang pada bahagian lengan dan betis, meninggal dunia di kediamannya di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS), kira-kira 45km dari sini, pagi ini, pada usia 83 tahun.
Berasal dari Kampung Semban, warga emas yang dikenali dengan nama jolokan “Ring Lady” itu meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi, menurut anak lelakinya Palom Ngarong, 41.
“Ibu mengadu sakit pada bahagian kerongkong serta bahagian badan sejak dua minggu lepas, dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada hari Isnin,” katanya semasa ditemui di rumahnya.
Mendiang meninggalkan enam anak, 22 cucu, serta sembilan cicit, dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Gereja Anglican BRS pada Ahad.
Ranyu bersama tiga lagi “Ring Lady” yang dikenali sebagai Peluk Abeh, Tawud Luhan dan Singai Nekan, dipercayai wanita dari kaum Bidayuh terakhir yang memakai gelang tembaga yang dikenali sebagai “ruyang” dan “rasung” pada bahagian lengan dan betis, seawal umur 10 tahun.
Mereka adalah anggota kumpulan kebudayaan dari Kampung Semban, yang sering dijemput untuk membuat persembahan di pelbagai festival di Kuala Lumpur, malah pada tahun 2016 kumpulan ini turut diundang untuk membuat persembahan di Lo Spirito Del Pianeta, festival antarabangsa kumpulan peribumi dan suku kaum di Milan, Itali.
Menurut ketua Kampung Semban, Sagen Adem berkata, pada satu ketika dahulu, pemakaian gelang itu bukan sahaja sebagai simbol status dan kejelitaan, tetapi juga sebagai pengiktirafan bahawa hanya pemakai yang dibenarkan menghadiri festival tertentu dan melaksanakan upacara tradisional komuniti. – BERNAMA
Gigih demi mencari rezeki, penghantar makanan hanya jalan kaki hantar pesanan
You must be logged in to post a comment.