Pemandu e-hailing ditahan bantu siasatan kes gaduh
RAWANG – Seorang pemandu e-hailing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan seorang pelanggan dengan pekerja sebuah restoran makanan segera di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 41 tahun itu mempunyai kad orang kurang upaya (mental).
“Pemandu e-hailing tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pergaduhan itu berpunca kerana lelaki berkenaan menceroboh masuk dan menyerang pekerja restoran terbabit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Arifai berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan terperinci termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu ceroboh dan 427 Kanun Keseksaan kerana khianat rosakkan harta serta Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh di tempat awam,” katanya.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, pemandu e-hailing berkenaan tidak berpuas hati dengan pekerja kaunter pandu lalu restoran tersebut yang membuat urusan transaksi pembayaran secara paywave tanpa kebenarannya.
Pekerja tersebut telah meninggikan suara dan bercakap kasar dengan lelaki itu serta membuat mangsa (pemandu e-hailing) menunggu lama.
Berlaku pertengkaran antara kedua belah pihak sebelum mangsa didatangi seorang lelaki lain yang bertindak menumbuknya di bahagian dahi kiri sementara pergelangan tangannya ditarik dengan kuat.
Terdahulu, video berdurasi 15 saat menyaksikan kekecohan yang berlaku di kaunter pandu lalu sebuah restoran makanan segera tular di media sosial Facebook di mana orang awam yang berada di lokasi kejadian turut dilihat cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
https://mykmu.net/2017/08/28/gaduh-tu-gaduhla-yang-dibabitkan-umno-tu-apa-kaitannya-pulak/