Sandiwara di panggung yang sepi
KELMARIN, saya terserempak dengan Aliudin, rakan sekolej sewaktu di UiTM. Beliau orang Sabah daripada kaum Melayu-Brunei. Walaupun masing-masing bertopeng muka, kami masih mengenali di antara satu sama lain.
Tamat Diploma Sains Aktuari di UiTM Shah Alam, Aliudin melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di Universiti Nebraska, Amerika Syarikat. Aliudin ialah seorang aktivis pelajar pada zaman kampus. Namun, dia tidak pernah mahu bertanding dalam Majlis Perwakilan Pelajar.
Dia lebih gemar menjadi orang di belakang tabir. Di kampus, dia menjadi seorang campaign manager bagi teman kami, Zainal hingga rakannya itu berjaya menjadi wakil pelajar. Sikap itulah yang Aliudin bawa bila pulang ke tanah air.
Dia masih menjadi orang belakang tabir kepada Zainol yang pada waktu itu telah menjadi pemimpin sebuah parti politik di peringkat negeri. Bila saya bertanya apakah beliau masih aktif berpolitik, Aliudin hanya geleng kepada. Katanya, dia dah serik.
Pada suatu ketika dahulu, dia mencadangkan projek bernilai jutaan ringgit mengimport alat pengimbas keselamatan kepada Zainol. Zainol mencadangkan agar mereka bertemu dengan orang kuat seorang pak menteri.
Seminggu kemudian, Zainol memberitahunya idea itu ditolak kerana tiada peruntukan kerajaan. Tetapi sebulan selepas itu, Aliudin mendapat tahu Zainol mendapat kontrak mengimport peralatan itu bersama pegawai pak menteri yang menjadi rakan kongsi.
“Projek aku kena hijack!” getus Aliudin. “Aku tak boleh percaya sudah sama orang politik. Dia orang boleh buat apa sahaja untuk dapat apa yang mereka hendak.
Tengoklah sekarang, masa Covid pun buat pilihan raya.”
“Kita rakyat susah-susah beranikan diri untuk undi mereka. Itu virus bukan kenal siapa pemimpin siapa rakyat. Kalau mahu kena, semua boleh kena.
Kemudian lepas pilihan raya boleh gaduh lagi nak pilih Ketua Menteri. Bila mahu habis politik? Geram aku!”
Bagaimanapun, kini Aliudin adalah seorang jutawan. Kini dia menjalankan bisnes import eksport. Bila ditanya bisnes dengan negara mana, jawapannya agak mengagetkan. “Bangladesh!” Aliudin menjawab dan matanya mengecil menandakan yang dia sedang tersenyum di sebalik topeng mukanya.
“Penduduk Bangladesh ada 161 juta orang; lima kali ganda penduduk Malaysia. Aku import empat kontena T-shirt dalam sebulan dan jual di sini. Harga tekstil memang murah di Bangladesh.”
Bila saya tanya, apa yang dieksportnya, Aliudin tergelak pula. “Produk makanan terutamanya mi segera. Jangan tak tahu, orang Bangladesh suka barang makanan dari Malaysia sebab ramai yang pernah kerja di sini.”
“Suka atau tidak, orang Bangladesh memang rajin. Ramai yang ada kelulusan universiti datang bekerja di negara kita sebagai tempat latihan. Bila balik mereka buka bisnes. Tapi aku rasa, kalau orang politik kita tak habis-habis bergaduh dan ekonomi tak berkembang, rakyat kita pun akan cari makan di negara lain macam orang Bangladesh.”
Menurutnya, pada hari ini pun semakin ramai rakyat Malaysia sudah tidak ambil peduli pertelingkahan politik antara parti. Mereka sudah jelik kerana orang politik fikir masa depan negara berada di tangan mereka. Sedangkan rakyat sudah lama cari jalan sendiri untuk hidup dan mencari jalur pemikiran sendiri.
Ramai orang Melayu sudah tidak menjadikan orang politik sebagai idola. Sebab itu ramai yang mencari akar umbi jati diri.
Pemimpin dahulu seperti Hang Tuah, Tun Perpatih Putih, Tun Perak, Sultan Muzaffar Shah dan Panglima Awang yang dilihat dan diangkat dari sudut kepimpinan dan keberanian. Pejuang penentang penjajah seperti Mat Kilau, Dato Bahaman dan Tok Janggut turut diingati.
Sejarah negara bukan lagi kisah kejatuhan kita di tangan Portugis, Belanda dan Inggeris tetapi betapa besarnya kesultanan, teknologi persenjataan dan sistem ekonomi hingga menjadikan Melaka negeri yang paling kaya di sebelah sini.
Dengan maklumat sejarah, mereka mula tahu siapakah pejuang mereka sebenarnya. Orang politik pada hari ini hanya seperti pelakon dalam sebuah sandiwara di sebuah panggung yang kian sepi.
* Norden Mohamed
Sindiket jual dokumen palsu ujian Covid-19 dibongkar, warga Bangladesh dicekup
You must be logged in to post a comment.