Sindiket jual dokumen palsu ujian Covid-19 dibongkar, warga Bangladesh dicekup

Share

Ketika pasukan barisan hadapan kesihatan dan keselamatan di negara ini bertungkus lumus menjejaki dan menyelamatkan pesakit Covid-19, ada pula sindiket yang terlibat dalam kegiatan jijik pengeluaran dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 palsu!

Dokumen palsu itu dijual dengan dengan harga RM50 untuk membantu meloloskan pekerja warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini daripada dilibatkan dalam saringan dan rawatan Covid-19.

Bagaimanapun kegiatan yang jelas cubaan menggagalkan usaha kerajaan memutuskan rantaian pandemik yang menghantui dunia ketika ini berjaya dihidu pihak berkuasa keselamatan selepas dua orang suspek warga Bangladesh ditangkap di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sindiket itu beroperasi dalam kegiatan terlarang dan melanggar undang-undang keselamatan negara sejak satu hingga dua minggu lalu.

Katanya, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menyerbu sebuah premis di Jalan Alor, Kuala Lumpur pada Jumaat 5 Jun 2020 jam 5.40 petang sebelum berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang merupakan penjaga kaunter premis.

“Hasil pemeriksaan di premis itu berjaya dirampas seunit komputer riba jenama Dell, dua unit mesin pencetak jenama Epson, seunit mesin laminator model ABC dan dua helai kertas keputusan ujian saringan COVID-19.

“Dalam serbuan kedua di satu lagi premis di Jalan Alor juga polis berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki warga Bangladesh juga yang bekerja sebagai penjaga kaunter,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Turut dirampas sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang terdapat cetakan laporan ujian saringan COVID-19 yang disyaki palsu dan sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang kosong.

“Polis turut merampas wang tunia RM1331 dari premis kedua itu dan hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan dengan cara mengeluarkan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 yang negatif bagi warganegara asing.

“Kaunter yang beroperasi di kaki lima kedai di Jalan Alor telah beroperasi selama 1 hingga 2 minggu dengan setiap 1 dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 dikenakan bayaran RM50.

“Pihak Polis mendapati tapak berkenaan disewa dengan kadar RM600.00 sebulan dan premis beroperasi setiap hari bermula jam 12.00 tengahari sehingga 9.00 malam,” ujar beliau.

Tambah Mazlan, hasil soal siasat terhadap suspek juga mendapati seorang penjaga akan ditempatkan di kaunter untuk mengendalikan sebuah komputer riba ketika berurusan dengan pelanggan.

Tegas beliau, sasaran pelanggan kedua-dua suspek itu adalah dipercayai terdiri daripada warganegara asing dan hasil penyiasatan mendalam polis mendedahkan kedua-dua suspek di kedua-dua premis tersebut bekerja dengan orang lelaki tempatan dan anggaran gaji yang terima setiap suspek adalah RM150 dan RM1700 sebulan.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

“Sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini hanyalah membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana Balai Polis berdekatan.-MalaysiaGazette

One thought on “Sindiket jual dokumen palsu ujian Covid-19 dibongkar, warga Bangladesh dicekup

  • June 7, 2020 at 09:31
    Permalink

    Tangkap lelaki tempatan pukimak yg menggadai keselamatan negara!!

    Tak guna setiap kali hanya barua2 saja yg ditangkap tapi towkei2 pukimak lepas utk mengulangi kerja haram mereka!

    Reply

Leave a Reply