Patutlah PAS Sayang Lebih Pada Bersatu Berbanding UMNO…

Aku melihat ramai kawan-kawan UMNO yang marah. Sejak dari awal lagi, mereka bagai tidak setuju BN menganggotai Kabinet Malaysia. Sudah tentu bayangan Dato’ Seri Azmin Ali, Zuraidah dan seangkatan dengannya menjadi alasan utama.

 

Tambahan pula Presiden, Timbalan Presiden dan ramai lagi yang berpengalaman tidak dilantik ke jawatan utama, sebaliknya jawatan menteri kanan diisi orang Bersatu yang tiada pengalaman mentadbir, lagi panas jadinya. Selain Dato Seri Ismail Sabri, hanya beberapa MP UMNO sahaja dilantik sebagai menteri portfolio “kurang penting”?



 

Namun apabila Presiden UMNO menekankan bahawa kestabilan negara lebih penting, maka redalah sekejap kemarahan akar umbi UMNO. Malah ramai yang memuji ketegasan Presiden yang menegaskan bahawa UMNO BN tidak menyertai PN, sebaliknya komited untuk terus mengukuhkan MN bersama PAS.

 

Namun sejak menganggotai PN, penyatuan UMNO BN & PAS di dalam MN bagai kurang lagi dihargai PAS. Setelah dilantik menteri, PAS begitu melebih-lebihkan sayangnya pada PN dan Bersatu. Jika dulu selalu diperlihatkan airmata kegembiraan gabungan UMNO-PAS, namun kini PAS lebih gemar berkongsikan detik bahagianya bersama Bersatu dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.



 

Tidak diperuntukkan sebarang kerusi di PRN Sabah pun, PAS berlapang dada, tidak kisah. Bersatu rampas kerusi kubu kuat UMNO pun, PAS diam, seolah hati saudara MNnya itu layak dirobek saudara PNnya. Malah Armada Pemuda Bersatu biadap, tidak beradab sopan dengan UMNO pun, Pemuda PAS tangkas menyebelahi sahabat PNnya itu, mengherdik Pemuda UMNO?

 

Nampaknya, sayang sungguh PAS pada PN berbanding MN, bukan? Tapi kenapa? UMNO cemburu?



 

UMNO harus sedar, penubuhan MN yang berpiagam itu pada mulanya amat dihargai semua pihak, sama ada UMNO mahupun PAS. Bermula dari pucuk pimpinan tertinggi hinggalah ke peringkat akar umbi, semuanya melahirkan kesyukuran. Airmata gembira keharuan mengalir, ramai yang sujud syukur. Malah rakyat pun suka!

 

Namun UMNO juga harus sedar bahawa gabungan MN itu tidak memberikan apa-apa kelebihan buat PAS, malah PAS terpaksa meredakan kecewa segelintir penyokong totoknya yang menentang penyatuan dua parti terbesar Melayu Islam itu.



 

Malah kerjasama UMNO-PAS di dalam MN itu dilihat memberi imej negatif terhadap PAS yang bergabung dengan parti yang terjejas reputasinya dengan persepsi buruk yang dilontarkan PH sebelum ini. Kerana itulah pimpinan PAS kelihatan teragak-agak untuk menyokong isu yang diketengahkan “Bossku”, walaupun ianya jelas benar dan sahih!

 

Lainlah jika bergabung Bersatu, kan? Menyertai PN bererti PAS kini sebahagian dari Kerajaan Persekutuan. Bukan hanya jawatan menteri, bahkan PAS boleh saja melebarkan sayapnya mengetuai negeri, dan memperkukuhkan lagi agenda pengaruh politiknya di segenap inci Tanah Melayu ini.



 

Malah, penyertaan PAS di dalam PN itu memberi kelebihan padanya untuk meramaikan ahli, dan mengutamakan kebajikan ahli-ahlinya yang sudah lama “melabur” berjuang di dalam parti tanpa sebarang ganjaran setimpal.

 

Ternyata, tindakan PAS untuk menyertai PN lebih menguntungkan berbanding menyatukan ummah bersama UMNO di dalam MN, bukan? Ibaratnya, menyertai PN memberi seribu kelebihan buat PAS, manakala menaiki kapal bersama UMNO bagaikan “menggalas biawak hidup”, bukan?



 

Jadi, UMNO jangan marah jika PAS lebih menyebelahi Bersatu berbanding UMNO. UMNO perlu faham, itu adalah normal kehidupan dunia akhir zaman ini.

 

Walaupun Bersatu itu juga asalnya pucuk pemimpin utama UMNO yang berkhidmat dengan UMNO yang dimaki PAS siang dan malam puluhan tahun dulu, apa yang PAS perlu kisahkan hati pucuk pimpinan baharu dan akar umbi UMNO sekarang?

 

Walaupun pimpinan dan akar umbi UMNO sudah menginsafi, kembali kepada perjuangan dan cukup berlapang dada demi menyatukan ummah, sudah tentu PAS lebih selesa bersama Bersatu sekarang yang pernah bersama PH dan DAP menjatuhkan sebuah kerajaan Melayu Islam, bukan?

 

Walaupun sebahagian besar Bersatu itu memerintah negara bersama PH, mengangguk semua dasar negara yang merugikan serta mengancam kepentingan Melayu Islam, kepentingan negara dan mengangguk bila pintu sempadan negara tidak ditutup pada Covid-19 pada awal tahun ini, tapi mereka lebih baik berbanding maruah sabahat MNnya, bukan?

 

PAS tidak perlu peduli pada maruah UMNO yang dipijak-pijak Bersatu. PAS tidak perlu kisah pada hati UMNO yang dirobek Bersatu satu-persatu. PAS tidak perlu hiraukan sahabat MNnya itu, sebaliknya PAS boleh memilih untuk lebih sayangkan PN berbanding MN.

 

Sesungguhnya penubuhan MN itu hanya mengundang airmata bagi PAS. Namun penubuhan PN bersama Bersatu itu membawa PAS untuk menghuni Putrajaya, dan berperanan penting sebagai kerajaan! Mana mungkin UMNO itu lebih penting di hati PAS berbanding Bersatu, bukan?

 

Tidak mengapalah. Bagi penulis, UMNO BN akan tetap kekal komited memperkukuhkan MN. Apatah lagi UMNO BN begitu tegas dengan pendirian tidak menyertai PN, sebaliknya sanggup bersama Kerajaan PN sehingga PRU15 sahaja untuk stabilkan pentas politik negara dari terus dijahanamkan PH, kita bersabar sajalah.

 

Sama ada PAS mahu terus hanyut bersama PN, itu adalah urusan PAS. UMNO BN tidak dapat menghalang atau campur tangan urusan dalaman PAS. Bersatu terus memijak UMNO BN di dalam pentadbiran PN, terpulanglah. Kita terpaksa bersabar sehingga PRU15.

 

Lagipun, pada PRU15 nanti, UMNO BN akan bertanding sebagai komponen utama MN, bukan? Kita tidak menyertai PN, takkanlah nak bertanding pakai bendera PN kot? Buat masa sekarang, kita bersabar. Lagipun ustaz kata, sabar itu inshaAllah dikurniakan pahala dan dibalas ganjaran, kan? Heh!

UMAR AVU BAKAR

 

Ke mana arah tuju PPBM?

 

Pas sertai PN: Janji tiada pertandingan 3 penjuru – Tok Mat

Related Articles

2 Comments

  1. kita tengok kan aje perangai Bersatu..nak jawatan kita bagi..nak kerusi lebih kita bagi.
    Sekarang ni kita biarkan je lah tengok perangai2 mereka ni. PRU 15 jangan bagi muka..MN perlu teguh..kalau kena lawan 10 penjuru pun kita lawan..jangan kompromi lagi.

  2. Penulis sendiri dah beri jawapan kenapa PAS lebih sayangkan PN daripada UMNO/BN. Dengan PN, PAS diberi peluang menyertai kerajaan dan jawatan2 yang membolehkan PAS menyumbang kepada kebajikan rakyat dan ummah termasuk ahli2 Umno. Di bawah kerajaan PN yang diteraju oleh Mahyuddin, negeri2 Trengganu, Kelantan dan Kedah yang ditadbir oleh PAS mendapat perhatian dan peruntukan yang cukup tidak seperti di zaman puluhan tahun kerajaan BN dulu. Malah kerajaan PN berlaku sangat adil terhadap semua menyebabkan rakyat Sarawak dan Sabah pun sedar akan keperihatinan Mahyuddin. Muafakat Nasional (MN) tertubuh atas dasar perpaduan Ummah, bermakna menjaga kepentingan ummah ( kepentingan kaum Melayu dan Islam) mendahului kepentingan parti dan pangkat. Semangat inilah yang dipegang teguh oleh PAS, menyokong pemimpin Melayu Islam yang kokoh menjamin kedudukan Melayu dan Islam. Dan ini ada pada BERSATU di bawah Mahyuddin. Adakah kenyataan Presiden Umno, Zahid Hamidi, Ashraf Dasuki dan Lokman Adam mencerminkan semangat MN apabila membiarkan wakil2 rakyat Umno menyokong Anwar Ibrahim menjatuhkan kerajaan PN walaupun tahu dia bersekongkol dengan DAP??? Tindakan Zahid dan beberapa pemimpin Umno ini hanya membuktikan sifat2 lama mementingkan tembolok yang jelas dibenci oleh rakyat masih berkobar dalam sanubari mereka.

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker