Peralihan Kerajaan: Saya hampir masuk wad! – Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abd. Hadi Awang menyifatkan peristiwa pertukaran kerajaan baru-baru ini adalah pengalaman yang paling meninggalkan kesan sepanjang penglibatannya lebih 56 tahun dalam bidang politik.

Menurut Abd. Hadi, ini kerana beliau terlibat secara langsung proses tersebut sehingga hampir dimasukkan ke dalam wad kerana terlalu bekerja keras bagi memastikan peralihan itu berjalan dengan lancar.

Katanya, walaupun beliau pernah berhadapan dan terlibat dengan pelbagai konflik politik di peringkat antarabangsa seperti di Bosnia, Palestin, Kashmir dan Afghanistan, namun peristiwa pertukaran kerajaan kali ini memberi cabaran berbeza.

Ini kerana, menurutnya, ia berlaku di tanah airnya sendiri.

“Saya dan dan rakan-rakan pimpinan politik negara berhempas pulas dalam isu ini sehingga saya tidur tak cukup, sehingga dua kali dinasihatkan untuk masuk hospital.

“Namun kami bekerja dengan penuh semangat hingga berlaku ‘perubahan’ yang sangat menarik (dalam negara), aman, sampai tidak ada satu titik darah pun yang tumpah kerananya,” ujar Abd. Hadi.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette semalam.

Untuk rekod, pada 24 Februari lalu, naratif landskap politik negara digegarkan dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 25 dan 26 Februari telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli Dewan Rakyat untuk menilai sokongan dan kepercayaan mereka.

Selepas melalui semua proses itu dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat kepercayaan Ahli Dewan Rakyat dan dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Mengulas lanjut, Abd. Hadi berkata, dalam kemelut politik tersebut, tanggungjawab yang dipikul mereka antaranya memastikan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan orang Islam itu sendiri tidak terjejas disebabkan peralihan kuasa yang berlaku.

“Tanggungjawab kita adalah menyatukan mereka, yang kedua tidak boleh menafikan masyarakat bukan Islam, kita tidak boleh menolak mereka kerana mereka juga sebahagian daripada kita.

“Semua ini bukanlah satu usaha yang mudah, sebagai contoh orang Melayu sendiri yang berbeza pandangan seperti yang kita lihat antara orang UMNO, Pas dan Bersatu.

“Akhirnya kita berjaya mewujudkan titik pertemuan bagi mengembalikan kuasa politik orang Melayu, Islam yang adil untuk semua.

“Kita juga berjaya mengajak kaum bukan Islam yang tidak esktrim, yang bencikan huru-hara dan pergaduhan untuk bersama kita sehingga tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional,” kata Abd. Hadi. MG

Related Articles

One Comment

  1. Ramai yang lupa sejarah apa punca melayu berpecah belah. Ingat kah lagi angkara termakan mainan agama oleh orang politik kita bersembahyang dua imam, masjid dan surau berasingan walaupun sekampung. Kini mereka sebuk konon berperanan nak menyatukan umat. Cis!

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker