Salleh Keruak mengundi di SRJK Chung Hwa, Kota Belud
KOTA BELUD – Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa dekat sini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini.
Calon Barisan Nasional (BN-UMNO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan itu tiba di pusat mengundi pada jam 9.14 pagi ditemani isteri, Datin Seri Raya Erom.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia (2015-2018) itu pernah menyandang kerusi berkenaan selama beberapa penggal.
Beliau ditentang dua pencabar lain membabitkan bekas calon kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Abdul Bahkrin Mohd Yusof (Warisan) dan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Datu Mohd Nazaruddin Datu Tigabelas. DUN Usukan mempunyai 16,883 pengundi.
Pada PRU14, 2018, kerusi tersebut dimenangi Datuk Japlin Akim (BN) yang mendapat 8,738 undi menewaskan Abdul Bahkrin (7,513), calon Pas Adzmin Awang (355) dan calon Bebas, Amsor Tuah yang memperoleh 70 undi.
Sementara itu, pemerhatian Bernama mendapati rata-rata pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti melakukan saringan suhu badan, memakai pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan sebelum masuk ke pusat mengundi.
Walaupun ada yang terpaksa bertongkat dan berkerusi roda, namun mereka kelihatan bersemangat menunaikan tanggungjawab mengundi dengan tiba di pusat mengundi seawal jam 7 pagi sebelum pusat pengundian dibuka 30 minit kemudian.
Tidak kurang juga ada yang terpaksa berpatah balik kerana terlupa membawa kad pengenalan. – Bernama
You must be logged in to post a comment.