Anwar akan buat pengumuman penting, sumber kata ada majoriti
Presiden PKR, Anwar Ibrahim dijadual akan mengadakan sidang media pada jam 12 tengah hari ini untuk membuat satu “pengumuman penting”.
Terdapat spekulasi bahawa anggota parlimen Port Dickson itu berjaya mengumpulkan sokongan Ahli Parlimen untuk mendapatkan majoriti di parlimen.
Ditanya apakah Anwar mempunyai sokongan, satu sumber yang dekat dengannya berkata: “Ya.”
Ditanya lebih lanjut, sumber terbabit enggan menyatakan jumlah sokongan atau butiran mengenainya buat masa ini.
“Tetapi (ini adalah) majoriti besar,” katanya.
Tidak jelas siapa yang berpihak kepada Anwar, tetapi spekulasi mengatakan bahawa ia tidak termasuk kumpulan dari parti Pejuang yang diasaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad atau Warisan.
Sebaliknya, Anwar mungkin mendapat sokongan daripada ahli parlimen Umno.
Sumber PKR juga mengatakan bahawa dia mungkin mendapat sokongan daripada GPS di Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Fadhilah Yusof, ketika dihubungi bagaimanapun menafikan perkara itu dan mengatakan dia sedang dalam perjalananan menghadiri mesyuarat kabinet.
Terdapat juga khabar angin bahawa Anggota Parlimen Port Dickson itu mungkin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Semalam Yang di-Pertuan Agong dilaporkan sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), tetapi keadaan baginda tidak membimbangkan.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilapor masih berada di Semenanjung, namun dijadual akan berada di Kota Kinabalu, Sabah malam ini.
Pada masa ini, PKR, DAP dan Amanah memiliki 91 kerusi.
Warisan, Upko dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempunyai 15 kerusi, manakala dua anggota Parlimen dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga tidak berpihak kepada kerajaan Perikatan Nasional.
Gabungan blok pembangkang sekarang ini mempunyai 109 kerusi.
Sekiranya Anwar mendapat sokongan daripada GPS, ini bermakna mereka mempunyai 127 kerusi iaitu majoriti 16 kerusi.
Bagaimanapun, sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan Warisan dan Pejuang, maka dia masih boleh membentuk kerajaan dengan 112 kerusi jika mendapat sokongan PSB dan Syed Saddiq.
Jika tidak, presiden PKR itu mesti menarik sokongan anggota parlimen daripada PN.
Tidak kira sama ada dia mempunyai majoriti atau tidak, Perlembagaan Persekutuan meletakkan kuasa di tangan Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan sama ada baginda akan meminta perdana menteri yang kehilangan sokongan untuk mengundurkan diri atau membubarkan parlimen. Mk
You must be logged in to post a comment.