Ahmad Zahid jalani ujian COVID-19, bicara hari ini tangguh
Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbicaraan kes yang dihadapinya pada petang ini dan hari ini susulan ujian saringan COVID-19 yang dijalani bekas timbalan perdana menteri itu.
Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menjalani ujian saringan itu di Hospital KPJ Tawakal di sini pada tengah hari semalam.
“Keputusan bagi ujian saringan pertama ialah negatif, bagaimanapun keputusan bagi ujian saringan kedua hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam iaitu pada petang esok.
“Jadi kami memohon perbicaraan yang berlangsung pada petang ini dan esok dilapangkan dan bersambung semula pada Isnin depan (28 Sept),” katanya semasa prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah semalam.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihaknya memahami keadaan tersebut dan tidak membantah permohonan pihak pembelaan itu.
“Namun, pihak pembelaan harus memaklumkan kepada mahkamah selepas menerima keputusan saringan kedua itu dengan kadar segera,” katanya.
Hakim Sequerah membenarkan permohonan penangguhan itu dan menetapkan 28 Sept untuk perbicaraan bersambung.
Berdasarkan akaun media sosial rasmi milik presiden UMNO itu, beliau berada di Sabah sejak minggu lepas bagi kempen Pilihan Raya Negeri Sabah dan tiba di sini pada Ahad. Awani
You must be logged in to post a comment.