Lelaki menggelupur kesakitan api marak seluruh badan
“Tolong! pedih…sakit sangat,” jeritan mangsa motosikal rosak, Wan Mohd Jazil Safuan Wan Mohd Zain, 37, yang berlari dalam keadaan terbakar dan menggelupur kesakitan kerana api marak ke seluruh badannya.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi kelmarin ketika mangsa cuba menghidupkan motosikal rosak di rumahnya di Lorong Hamzah, Jalan Batu 2, Bunut Payung di sini.
Mangsa dan isteri, Che Zuriati Che Yahya, 40, ketika itu sedang bersiap untuk keluar berniaga di kedai makan mereka di Taman Tema Air Splash, Jalan Kuala Krai di sini.
Che Zuriati berkata, tiba-tiba dia mendengar suaminya cuba menghidupkan motosikal tetapi gagal dan menjangkakan kenderaan itu kehabisan petrol.
“Suami sempat bertanya tempat tong minyak berisi petrol untuk diisi ke dalam tangki motosikal itu dan saya hanya menjerit memberitahunya dari dalam rumah tong berkenaan ada berdekatan motosikal.
“Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi letupan dan tiba-tiba dia muncul dalam keadaan api sedang membakar seluruh tubuh. Suami saya menggelupur menjerit meminta tolong,’” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, api yang marak itu turut menyambar langsir pintu bilik rumah mereka tetapi sempat dipadamkan.
Wanita itu yang terkejut ketakutan lari menyelamatkan diri ke arah dapur, namun berpatah balik apabila terfikirkan nyawa suaminya yang berada dalam keadaan bahaya.
Che Zuriati bertindak nekad menolak suaminya ke bilik mandi dengan kedua-dua belah tangannya sehingga turut lecur akibat bahang api berkenaan.
Che Zuriati Che Yahya, 40, (kiri) yang masih trauma mengingatkan tragedi ngeri menimpa suaminya, Wan Mohd Jazil Safuan Wan Mohd Zain, 37, yang terbakar seluruh badan dan parah pada bahagian dada serta leher akibat terbakar.
Che Zuriati Che Yahya, 40, (kiri) yang masih trauma mengingatkan tragedi ngeri menimpa suaminya, Wan Mohd Jazil Safuan Wan Mohd Zain, 37, yang terbakar seluruh badan dan parah pada bahagian dada serta leher akibat terbakar.
“Tanpa berfikir panjang saya terus menyimbah air dalam baldi kecil ke tubuhnya dan menepuk-nepuk untuk memadamkan api yang membakar kulitnya.
“Suami ketika itu tidak memakai baju manakala seluar pendek yang dipakai sudah hangus. Akibat terlalu pedih, mangsa kemudian bangun pula ke ruang tamu dan berguling atas karpet hingga kulitnya tertanggal,” katanya.
Dalam keadaan panik itu katanya, dia menjerit meminta tolong namun tidak didengari sesiapa dan kemudian menghubungi rakan yang tinggal berjiran di belakang rumah.
“Saya selimutkan suami dengan toto dan memakaikan seluar lain padanya. Masa tu kulitnya tertanggal hingga lekat pada tangan saya.
“Jiran membawa suami membonceng motosikal ke rumahnya untuk mengambil kereta sebelum membawanya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya.
Che Zuriati berkata, akibat melecur teruk suaminya koma ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selain bernafas menggunakan bantuan mesin pernafasan manakala saluran pernafasannya membengkak.
“Keadaannya kini masih parah dan saya hanya mengetahui perkembangan dengan menghubungi doktor.
“Saya sendiri masih trauma dan tidak berselera makan apabila terkenangkan kesakitan yang dialaminya. Saya juga masih terbayang-bayang tragedi ngeri yang berlaku antara kami,” katanya.
Pasangan suami isteri berkenaan turut aktif menyertai badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini melakukan kerja-kerja membantu dan menjaga kebajikan golongan asnaf.
Bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Che Zuriati Che Yahya Bank Islam 03018021021726 atau hubunginya di talian 017 9864336. Sinar
You must be logged in to post a comment.