PRN Sabah: Kerajaan luluskan peruntukan khas projek mesra rakyat

Share

PUTATAN – Kerajaan telah meluluskan satu peruntukan khas projek mesra rakyat untuk diagihkan kepada 25 bahagian Parlimen di seluruh Sabah bagi kerja- kerja menaik taraf infrastruktur di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, peruntukan khas itu diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Saya difahamkan dalam satu perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau sudah meluluskan (peruntukan) dan diurus oleh pihak ICU.

“Peruntukan ini adalah untuk membantu rakyat dengan menaik taraf projek seperti baiki jalan dan sebagainya yang dipanggil sebagai projek mesra rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra di Kampung Tengah Padang, Petagas di sini malam tadi.

Beliau menjelaskan, peruntukan berkenaan sudah dipersetujui sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lagi bagi memastikan projek mesra rakyat ini dapat dilaksanakan.

“Ia dilaksanakan sebelum hari penamaan calon lagi sebagai bukti kita adalah kerajaan yang prihatin, sekiranya jalan rosak atau ada rumah yang perlu dibaiki, kita ada program ini di parlimen-parlimen.

“Ini bagi memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat, kita tidak mahu ia disalah guna sekiranya sampai ke kerajaan negeri. Ini telus dan ikhlas oleh kerajaan sebelum hari penamaan calon lagi,” tegasnya.

Diminta mengulas lanjut berhubung jumlah peruntukan, beliau belum menerima maklumat mengenainya namun peruntukkan difahamkan sudah diagihkan kepada bahagian sejak sebulan yang lalu.

Terdahulu, hadir sama dalam program itu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas mewakili Perikatan Nasional, Datuk Seri Arsit Sedi @ Sidik.

Leave a Reply