Harga basikal lagi mahal daripada kereta

Share

MINGGU lepas, saya sempat ke Bukit Fraser selepas hampir dua dekad tidak ke sana. Banyak perubahan yang berlaku. Kali pertama ke Bukit Fraser pada tahun 1992 ketika itu saya bersekolah di SMK Kuala Kubu Bharu. Sejak itu, banyak kali juga terfikir untuk menjengah bukit yang menempatkan pekan kecil ala England itu tetapi hasrat tidak pernah menjadi kenyataan akibat kesibukan kerja.

Itu pun sebab rakan sekampung, Ismail Mat Zin mengajak. Mahu layan ‘korner’, katanya. Bukit Fraser terletak di Pahang di atas Banjaran Titiwangsa. Bukit Fraser mendapat nama daripada seorang pengembara British pada zaman kolonial iaitu Louis James Fraser.

Dalam perjalanan, saya sempat berhenti di jambatan Sungai Peretak sambil mengimbas kenangan silam. Teringat saya dengan sebaris lirik lagu Joget Kenangan Manis nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, ‘Kalau pergi Kuala Kubu, Tulis Nama Atas Batu’.


Mungkin hanya tinggal kenangan saja dan kenangan itu saya abadikan sebagai nama ruangan ini. Kini tiada lagi keindahan batu-batu besar yang mengalir air dari Sungai Peretak kerana tenggelam bersama Empangan Peretak termasuk nama kekasih yang pernah ditulis di atas batu itu sebagai bukti cinta.

Dahulu sebelum sampai ke puncak, kita perlu berhenti dahulu di sebuah kawasan yang diberi nama Gap. Untuk naik dan turun, kena tunggu di The Gap dahulu kerana jalannya sempit, banyak selekoh berbahaya dan curam.

Sekarang tidak perlu tunggu lagi. Tiada lagi jadual untuk naik dan turun seperti dahulu kerana jalan sudah berasingan.


Tidak banyak perubahan di Bukit Fraser, masih macam dulu juga. Semakin ramai orang. Tarikan utama tentulah jam besar yang menjadi mercu tanda bukit peranginan itu.

Aktiviti

Apa yang menarik, Bukit Fraser turut menjadi tumpuan peminat sukan berbasikal terutama pada hujung minggu. Ada yang menggunakan road bike (RB), mountain bike (MTB), basikal lipat (folding bike) dan sebagainya.

Kini, aktiviti berbasikal semakin menambat hati dan perhatian rakyat Malaysia. Aktiviti berbasikal diadakan pada setiap hujung minggu menggunakan laluan mencabar seperti bukit, hutan dan tar. Malah ramai selebriti dalam negara juga sering meluangkan masa dengan berbasikal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Zizan Razak, Alif Satar dan ramai lagi.


Begitu juga ahli politik dan menteri yang berbasikal sebagai medium untuk bertemu dan bergaul dengan rakyat. Saya sempat berbual dengan seorang penunggang basikal yang sanggup berkayuh dari Rawang hingga ke Bentong sebelum naik ke Bukit Fraser dan patah balik ke Rawang. Dia berkayuh bersama enam orang sahabatnya menggunakan RB dengan sebuah 4WD sebagai pengiring.

Basikal yang digunakannya juga bukan calang-calang, mencecah harga ribuan ringgit. “Minat main basikal memang sudah lama, tapi dulu tak ada duit. Tapi sekarang nak beli basikal boleh buat loan,” katanya.

Terkedu saya mendengar. Harga sebuah basikal mengalahkan harga kereta. Dulu masa legenda basikal trek negara, Rosman Alwi guna basikal RM30,000 kita rasa dah cukup mahal. Sekarang, orang biasa guna basikal lebih mahal daripada itu.

Tapi ada juga cerita yang kurang enak tentang aktiviti berbasikal di Bukit Fraser ini. Ada seorang peniaga mengadu, ramai yang mengabaikan aspek keselamatan terutama ketika menuruni bukit sehingga menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Diorang ini (penunggang basikal) suka duduk ramai-ramai tanpa penjarakkan sosial, tak ikut SOP. Bila ditegur, kami pula yang kena marah. Lagi satu duduk lama-lama tapi order minuman saja. Orang lain nak masuk kedai pun tak ada meja,” katanya.

Rungutan peniaga itu ada kebenarannya. Sememangnya tidak dinafikan bahawa aktiviti sebegini mempunyai banyak risiko. Untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini, kita haruslah menitikberatkan aspek keselamatan.

Kalau nak berehat melepaskan penat pun, jangan lama-lama. Fikirkan pengunjung lain yang hendak menjamu selera ya. SH

Azmi Tarmizi

Leave a Reply