Tiada ‘kaw tim’ dengan PKR, kata Pandikar
Ketua Umum Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Pandikar Amin Mulia hari ini menafikan parti itu bekerjasama dengan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu ditanya adakah benar PKR berpakat dengan Usno untuk merosakkan undi Warisan kerana PKR hanya diberikan 7 kerusi pada PRN nanti.
Pandikar juga ditanya apakah Usno setuju untuk bertanding kerana hubungan baik beliau dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
“Tiada kerjasama dengan PKR. Soalan ini seolah-olah kita membuat perjanjian, kita ‘kaw tim’,” katanya kepada pemberita.
“Saya ada hubungan baik dengan semua pemimpin. Anda mesti ingat saya adalah Yang di-Pertua selama 10 tahun. Semua 222 ahli Parlimen, termasuk perdana menteri, saya adalah bos mereka.
“Kalau kita benar-benar ‘kaw tim’, mengapa kita letakkan calon di mana PKR bertanding seperti di Tempasuk. Usno bebas.”
Pandikar turut berkata, tidak masuk akal Amir Kahar Mustapha, anak kepada pengasas Usno, Mustapha Datu Harun, menuntut parti itu memohon maaf kepada keluarganya kerana menggunakan nama dan warisan bapanya untuk pilihan raya.
Katanya, Amir dan keluarganya seharusnya berterima kasih kepada parti itu kerana mengingatkan rakyat tentang sumbangan bapanya dan perjuangan Usno.
“Dia (Amir) harus meminta maaf kepada rakyat Sabah kerana tidak menyertai Usno dan bertanding sebagai calon bebas di Banggi.
“Kami tidak berniat memburukkan nama Mustapha, sebaliknya kami menegakkannya,” katanya. FMT