‘Menang dulu 37 kerusi, baru bincang siapa Ketua Menteri’
Putatan: Barisan Nasional (BN) tidak mahu terlalu yakin untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan dan melantik Ketua Menteri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berikutan itu, beliau tidak mahu isu siapa Ketua Menteri jika gabungan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang diperbesarkan.
Beliau berkata, mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan sebelum membincangkan mengenai siapa bakal dilantik sebagai Ketua Menteri.
“Asasnya, apabila kita melepasi garisan iaitu dapat 37 kerusi baru layak membentuk kerajaan. Jangan terlalu yakin kerana rakyat melihat. Kalau kita terlalu yakin, rakyat tak suka.
“Bagaimanapun, rakyat akan mendapat Ketua Menteri yang terbaik jika kita menang. Ini adalah norma baharu dan ia perlu dihormati semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama pemimpin di Kampung Pasir Putih, di sini, malam ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; calon BN Tanjung Keramat, Shahelmy Yahya dan calon PN Petagas, Datuk Arsit Sedi.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, BN memutuskan untuk tidak bercakap soal siapa calon Ketua Menteri sehingga gabungan BN, PN dan PBS menang pada PRN.
“Kita bagi menang dulu sekurang-kurangnya 37 kerusi. Selepas itu kita runding dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan masa itulah kita lantik siapa Ketua Menteri.
“Parti dapat banyak kerusi, maka itulah paling layak jadi Ketua Menteri,” katanya.
Setakat ini, hanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada membayangkan siapa Ketua Menteri mereka jika parti itu diberi mandat menjawat jawatan berkenaan.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor adalah nama disebut sebagai bakal Ketua Menteri dari parti itu, jika dipersetujui rakan parti lain.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum ini berkata, Hajiji memenuhi kriteria diperlukan rakyat Sabah untuk menerajui negeri berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.