DBKL tutup premis pemprosesan ayam kotor

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan sebuah premis pemprosesan ayam di Spring Crest Industrial Park, Batu Caves dekat sini ditutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan oleh Unit Kawalan Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL jam 10 pagi tadi mendapati tahap kebersihan premis tidak memuaskan serta lantai kotor dan berdaki hitam.

Menurut kenyataan itu, peti sejuk beku juga didapati tidak diselenggara dengan baik dan berbau busuk.



“Keadaan premis tidak tersusun kemas, tiada amalan amalan First-In-First-Out (FIFO) dan pemprosesan makanan didapati dilakukan kurang dari jarak 0.45 meter dari aras lantai.

“Longkang awam berhampiran pula didapati penuh dengan sampah sarap dari premis tersebut,”menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, Notis Perintah Penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dikeluarkan terhadap pengendali premis tersebut berkuatkuasa esok.

“DBKL akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan khususnya terhadap premis berkaitan makanan di sekitar Kuala Lumpur bagi memastikan pengendali premis mematuhi peraturan dan tahap kebersihan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu lagi.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker