Tiru macam Annuar, tak sombong, tak berat tulang
Ego Annuar tidak pernah jatuh sepanjang beliu berkhidmat kepada rakyat di bawah. Tanpa segan silu, beliau merayau mencari golongan marhaen.
SIKAP cakna Tan Sri Annuar Musa dan kes Asri Janggut sepatutnya menjadi iktibar atau pengajaran kepada Datuk-Datuk Bandar, Ketua-Ketua Jajahan dan Ketua-Ketua Polis Daerah di seluruh negara.
Kemanusiaan, keadilan adalah dua sifat yang dituntut oleh Allah dan amat disenangi oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Annuar, selaku Menteri Wilayah Persekutuan, apabila sampai ke telinganya ada masalah di akar umbi, tanpa berlengah, tanpa berat tulang, terus turun melihat dan mendengar apa permasalahan dihadapi masyarakat.
Setelah membuat pertimbangan, beliau dapati masyarakat itu, dari golongan marhean dan memerlukan pertolongan untuk meneruskan kehidupan, maka dengan kuasa yang ada, beliau membantunya.
Walaupun tidak dapat memberi bantuan secara kekal, sekurang-kurangnya beliau meminta agensi bawah kementeriannya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan lesen sementara kepada pihak berkenaan, iaitu peniaga kecil.
Tidak rugi dan tidak salah, malah tidak berdosa pun untuk DBKL mengeluarkan lesen kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Dengan pemberian lesen sementara, sekurang-kurangnya membangkitkan semangat peniaga kecil itu untuk berusaha mendapatkan lesen kekal dan mematuhi peraturan serta peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika berniaga.
Selama ini, ramai peniaga tidak patuhi undang-undang. Mereka gunakan petak parking sewenang-wenangnya untuk berniaga. Sekarang, setelah mendapat penjelasan dari menteri, mereka sedar perbuatan itu salah dan mereka cuba memperbaiki kesalahan itu.
Itu sepatutnya berlaku. Kita sesama manusia, tahu hidup di dunia fana ini sementara, pandai-pandailah berkongsi rezeki yang Allah bahagikan. Ini baru dikatakan fair and square atau adil dan saksama. Peniaga boleh cari makan, penguatkuasa boleh buat kerja dengan senang.
Tidak salah untuk Datuk-Datuk Bandaraya, Ketua-Ketua Jajahan dan Ketua-Ketua Polis Daerah mengikut contoh Annuar. Tidak jatuh imej pun jika mereka ringan tulang turun berjumpa masyarakat, terutama peniaga kecil.
Kita sama-sama nak hidup. Kita sama-sama nak kongsi bumi Allah, apa salahnya mempunyai sikap bertimbang rasa. Mati esok-esok pun, terbaring dalam liang lahad seorang diri juga. Kuasa yang kita miliki sebelum ini pun sudah jadi milik orang lain.
Jika kita tidak berlaku adil dan hanya sekadar mendapat jawapan dari anak buah, tanpa turun padang untuk mendapatkan jawapan dari akar umbi, perkara seperti didedahkan oleh Asri Janggut lah yang akan berlaku.
Asri Janggut adalah pengasas Hot Burger Malaysia. Dia telah membantu lebih 100 anak muda menganggur mencari sumber pendapatan halal dengan menjual burger.
Tambahan pula musim Covid-19, puluhan ribu hilang pekerjaan, menanggung hutang sewa rumah, hutang kenderaan, hutang susu bayi, beras, minyak dan gula di kedai runcit.
Menteri tidak akan turun kalau isu ketidakadilan penguatkuasa berlaku terhadap peniaga tempatan dengan warga asing.
Apa salahnya mereka berniaga burger. Dahlah perniagaan ini tidak mempunyai premis kekal, tidak juga mempunyai tapak kekal. Hanya menumpangkan ‘stall’ di tepi jalan milik PBT.
Yang penting, mereka tidak pun mencuri kawasan itu, mereka hanya meletak stall sementara saja untuk berniaga mencari sesuap nasi anak, isteri.
Kalau penguasa jenis sombong, ego, perkara yang mudah jadi payah. Elok peniaga menjalankan perniagaan tanpa mengganggu lalu lintas, dilaporkan kepada pihak atasan, peniaga ini mengganggu lalu lintas.
Ini banyak berlaku di kawasan yang penguasanya jenis suka memandang langit, tidak pernah walau sesaat memandang rumput. Penguasa jenis ini hanya melihat kapal terbang di udara, mereka tidak tahu pun nasib semut, lipas, cacing yang mendiami rumput.
Namun, kehadiran insan bernama Asri Janggut telah membuka mata semua pihak. Dari Datuk Bandaraya, Ketua Jajahan, Ketua Polis Daerah, Pengarah Bahagian Jenayah, Ketua Polis Negara sehingga Menteri.
Ianya berpunca dari satu sikap, iaitu ketidakadilan pihak penguatkuasa, yang sengaja mencetuskan rasa tidakpuas hati Asri Janggut.
Sesiapa sahaja yang berada ditempat Asri Janggut akan sakit hati, tetapi tidak ramai akan bertindak sejauh Asri Janggut lakukan. Mereka hanya sekadar memendam rasa, tapi untuk bertindak jauh sekali, tidak berani, selain tidak ada saluran.
Asri Janggut tidak akan bertindak agresif sekiranya penguatkuasa berlaku adil. Stall miliknya disita dan dirampas dengan alasan mengganggu lalu lintas, sedangkan kedai Acheh yang dibuka oleh warganegara asing sejak sekian tahun, tidak diusik.
Premis yang menjalankan aktiviti judi tidak diambil tindakan. Malah, dibiarkan beroperasi sebebas-bebasnya.
Siapa suruh usik harimau sedang tidur? Sekarang harimau sudah bangun. Semua pihak berkuasa dan penguatkuasaan dalam kebimbangan. Majikan masing-masing sudah bersuara dan bertindak, termasuklah Kabinet Menteri.
Ada yang tidak dapat tidur sejak dua tiga malam ini kerana bimbang akan menerima notis tindakan atau pertukaran 24 jam.
Jika berlaku, mereka tidak boleh salahkan Asri Janggut. Mereka telah diberi peringatan awal-awal lagi, tetapi mereka cuai dan alpa. Mereka diulik dengan wang perlindungan setiap bulan.
Hidup mereka kini gelabah dan tentunya hati tidak tenang. Lebih lagi apabila SPRM sudah turun ke kawasan memasang jerat.
Tidak sampai 12 jam pasang jerat, SPRM pun sudah mengesahkan ada penangkapan ke atas beberapa pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Apa yang penguatkuasa itu lakukan? Mereka meminta dan menerima wang suapan dari peniaga warga asing. – MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.