‘Biarlah artis duduk PPR’

KUALA LUMPUR: “Biarlah orang persoalkan artis duduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR). Orang luar tidak tahu selepas tolak (pendapatan) sana-sini, berapa banyak baki (wang) yang tinggal.”

Itu reaksi pelakon filem Hantu Kak Limah, Delimawati Ismail, 62, yang menjadi salah seorang daripada 25 penggiat seni kumpulan pertama menerima surat tawaran menyewa unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin.

Program yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bertujuan membantu artis veteran termasuk kru yang kurang berkemampuan, menyewa rumah PPR.

Delimawati berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac lalu, sudah enam bulan beliau tidak ditawarkan berlakon.



“Saya bersyukur atas keprihatinan kerajaan kepada kami artis veteran,” katanya kepada BH Online.

Mendiami sebuah rumah sewa di Puchong bersama anak, Delimawati berkata, dia boleh berpindah ke kediaman baharu dan berjimat berikutan kadar sewa rendah iaitu kira-kira RM200 sebulan.

“Ketika permohonan dibuka, saya terfikir kenapa perlu lepaskan peluang ini. Ketika ada tawaran berlakon, memanglah tiada masalah hendak membayar sewa RM1,000 sebulan.

“Artis veteran seperti kami, tawaran lakonan sering tidak menentu. Saya tidak peduli apa orang kata. Ini rezeki kita, jadi terima sahajalah. Apa yang penting, saya tidak menyusahkan dan mengharap bantuan orang,” katanya.



Bagi pelakon Sheila Mambo, 58, berkata, beliau menyewa rumah di Hulu Klang, sejak 20 tahun lalu dan tidak pernah bercita-cita memiliki kediaman sendiri kerana kos tinggi.

Namun, sebaik mendapat tahu tawaran FINAS, beliau tidak melepaskan peluang mencuba nasib.

Sheila berkata, mungkin berkat doa arwah ibunya, impiannya termakbul.

“Saya tidak peduli apa orang cakap. Jangan ingat semua artis kaya. Kami juga rakyat Malaysia, jadi kami layak memohon PPR. Jangan pertikaikan rezeki yang Allah beri kepada kami,” katanya.



Delimawati dan Sheila masing-masing menerima surat tawaran menyewa rumah PPR daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Selain Delimawati dan Sheila Mambo, turut menerima surat tawaran mendiami rumah di PPR Lembah Subang 2 adalah Badrul Muhayat, Ayati Tasrip, Wan Nor Azlin, Abu Bakar Ahmad, Mahmud Ali Basha, Alina Hassan, Mubarak Majid dan ramai lagi.-BH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker