Warisan khianati muafakat Warisan Plus – Ketua Penerangan AMK Sabah

KENYATAAN MEDIA

10 SEPTEMBER 2020 (KHAMIS)

LANGGAR KERUSI KEADILAN, WARISAN KHIANATI MUAFAKAT WARISAN PLUS SEBELUM TURUN BERPERANG

Semalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah mengumumkan untuk bertanding 14 kerusi DUN iaitu Matunggong, Pintasan, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Petagas, Limbahau, Membakut, Klias, Kemabong, Sook, Sungai Manila dan Segama.

Selain itu, KEADILAN juga akan mengumumkan untuk menggunakan logo KEADILAN sendiri namun bersama dalam Warisan Plus bagi mempertahankan kerajaan negeri.

Namun hari ini, Warisan mengumumkan untuk bertanding di Pintasan, Petagas, Limbahau, Membakut, Sungai Manila dan Segama manakala kerusi Kemabong diserahkan kepada UPKO.

Di sini saya ingin mempersoalkan di mana semangat kesatuan yang sering dilaungkan Shafie apabila dengan jelas melanggar kerusi rakan dalam pakatan?

Saya juga terkilan apabila rakan komponen Pakatan Harapan iaitu AMANAH dan DAP tidak mendapat tempat selayaknya walaupun mereka banyak mengorbankan beberapa perkara untuk mendapat perhatian Shafie.

Antara perkara yang sanggup mereka lakukan adalah menolak calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sebaliknya menyokong calon lain yang dicadangkan Mahathir iaitu Shafie Apdal sendiri.

Dan terbaru, DAP dan AMANAH sanggup dengan rendah diri memilih untuk menggunakan logo Warisan sekaligus mengenepikan logo mereka sendiri dan logo Pakatan Harapan walaupun UPKO menggunakan logo sendiri atas dasar prinsip dan hormat kepada organisasi.

Namun apa yang berlaku akhirnya AMANAH cuma diberi ruang untuk bertanding hanya satu (1) kerusi iaitu Tanjung Keramat serta terlepas beberapa kerusi berpotensi antaranya Pitas dan Sekong manakala beberapa kerusi potensi DAP dirampas Warisan antaranya DUN Tulid serta beberapa DUN berpotensi buat DAP.

Kita tidak terlalu risau berkenaan isu agihan kerusi walaupun jumlahnya kecil namun biarlah dilakukan secara adil atas semangat muafakat dan kesatuan dalam Warisan Plus.

Ini kerana rakyat sedang memerhati dan tidak mustahil jika bukan sahaja rakyat malah penyokong parti-parti dalam Warisan Plus akan melakukan undi protes apabila mereka melihat Warisan seolah sebuah parti yang tamakkan kerusi.

RAZEEF RAKIMIN
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan
Sabah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker